fbpx
Kesan kemusnahan yang dapat dilihat susulan kejadian banjir besar yang menimpa sebuah perkampungan di Kuala Simpang, Aceh Tamiang, Sumatera Utara baru-baru ini. – AFP

Banjir Aceh: Pelajar jerang air bah untuk diminum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aceh Tamiang iaitu salah satu kawasan paling terjejas dalam kejadian banjir besar di tiga wilayah utama di Sumatera, Indonesia pada 27 November lalu kini diibaratkan sebagai kota sunyi tanpa sebarang aktiviti daripada penduduk sekitar.

Gambaran suasana pilu itu diakui sendiri wakil pelajar Malaysia di sana yang meninjau lokasi bencana sehingga menyifat­kan kawasan itu sebagai tidak layak untuk didiami.

Yang Di-Pertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Medan 2025-2026, Nur Athirah Barudin berkata, penduduk serta pelajar terpaksa menggunakan air keruh daripada sungai untuk dimasak sebagai minuman harian, selain berdepan kesukaran berkomunikasi akibat rangkaian yang lumpuh sepenuhnya.

“Rumah berlumpur setinggi setengah pintu, rumput hijau bertukar kuning, elektrik terputus dan keadaan seperti sebuah kota yang sudah lama ditinggalkan.

“Lebih membimbangkan, pelajar Malaysia di Aceh merupakan kumpulan paling terjejas ketika ini. PKPMI Aceh masih menyalurkan maklumat terkini kepada PKPMI Pusat dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebelum ini, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dilapor berkata, pihaknya kini berada pada fasa terakhir penyediaan bantuan kecemasan hasil kerjasama pelbagai agensi.

“Konsulat Jeneral Malaysia di Medan bersama Mercy Malaysia, Diaspora Malaysia serta pelajar Malaysia di Medan sedang giat mempersiapkan bantuan banjir untuk Aceh Tamiang. Semua barangan keperluan asas sedang diperiksa dan disusun sebelum dihantar,” katanya.

Jelasnya, penghantaran bantuan adalah melibatkan makanan ke­ring, kit kebersihan, lampin pakai buang, pakaian serta bekalan perubatan ringan

Sementara itu, seramai 45 pelajar Malaysia di Aceh yang pada awalnya dilaporkan berada dalam keadaan membimbangkan susulan kejadian banjir kini disahkan selamat.

Sumber yang rapat dengan operasi pemantauan berkata, keadaan semua pelajar kini terkawal.

“Semua pelajar okay kerana lokasi universiti bukan kawasan banjir, cuma mereka tetap terkesan dari segi logistik,” katanya ketika dihubungi.

Menurut sumber, pada 27 November lalu, pihak Konsulat Je­neral Malaysia di Medan bersama beberapa NGO tempatan turut menghantar bantuan makanan segera kepada pelajar serta beberapa kawasan yang terputus bekalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN