KLANG – Kehidupan kira-kira 600 penduduk Blok C Flat Seri Perantau berubah sekelip mata selepas kebakaran di bilik sesalur elektrik (DB) awal pagi Ahad lalu.
Kebakaran itu memutuskan bekalan elektrik di seluruh blok selama lima hari, menimbulkan tekanan besar terutama kepada warga emas, pesakit kronik dan keluarga yang mempunyai anak kecil.
Seorang penduduk, Sulaiman Manan, 76, berkata dia menghadapi kesukaran kerana bergantung pada mesin oksigen dan tinggal di aras tiga bersama isterinya.
“Saya tak berapa sihat, kalau kerap turun naik tangga, risau pula terjatuh atau pengsan. Sudah tentu, keadaan ini amat menyukarkan saya yang kerap mengalami sesak nafas,” katanya di sini hari ini.
Penduduk lain, Azlan Mahad, 43, memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi dan difahamkan kos baik pulih DB tersebut mencecah RM100,000.
Kebakaran berlaku secara tiba-tiba di tingkat tiga flat itu, sehingga semua bekalan elektrik terputus, menyebabkan gangguan harian yang signifikan, ” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Blok C Flat Seri Perantau, Azizul Anuar, berkata pihak pengurusan telah memanggil pemimpin penduduk dan NGO untuk menyediakan bantuan sementara, kerana gangguan elektrik kali ini lebih lama daripada biasa.
“Gangguan sebelum ini paling lama dalam tempoh tiga hari. Kerja baik pulih pendawaian dijangka mengambil masa dua minggu, namun tarikh sebenar permulaan masih belum ditetapkan akibat isu kos dan kajian teknikal,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














