fbpx
Genivan (kanan) percaya bahawa dalam setiap perlawanan catur tidak ada strategi yang sama.

Dari studio kecil ke pentas catur dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di tengah kesejukan cuaca di Mongolia, seorang remaja Malaysia mencuri tumpuan apabila muncul juara dalam Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 (2025) yang berlangsung di bandar Ulaanbaatar baru-baru ini.

Genivan Genkeswaran, 16, menewaskan pemain dari 16 buah negara seluruh dunia termasuk China, India, Uzbekistan, Indonesia, Rusia dan Korea Selatan dalam kategori Terbuka Bawah 17 Tahun (U17 Open), sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Kejayaannya bukan kebetulan. Dengan disiplin latihan yang konsisten dan sokongan keluarga, remaja kelahiran Klang, Selangor itu membuktikan semangat dan fokus mampu mengatasi tekanan kejohanan berprestij.

Kemenangan di Mongolia kini menjadi titik penting dalam langkah awalnya sebagai pemain catur muda yang semakin diperhatikan.

Kejohanan yang berlangsung dari 24 Oktober hingga 2 November itu dianjurkan oleh Persekutuan Catur Mongolia di bawah naungan Persekutuan Catur Asia (ACF) dan FIDE, menghimpunkan pemain muda terbaik Asia dalam sembilan pusingan permainan yang sengit.

Berkongsi dengan K-Remaja, Genivan gembira dan bangga apabila mampu mengharumkan nama negara dengan membawa pulang kejuaraan itu.

“Bagi saya, ini satu pencapaian besar dalam penglibatan saya dalam dunia permainan catur, bahkan ia juga telah memberi keyakinan buat saya untuk melangkah lebih jauh,” ujarnya.

Kejohanan Catur Sekolah-sekolah Asia ke-19 menggunakan format klasik dengan sembilan pusingan.

Jelas Genivan, cabaran utama adalah untuk mengekalkan fokus sepanjang hari, terutama apabila perlu berdepan pemain dari negara-negara yang mempunyai tradisi kuat dalam permainan catur seperti India dan Uzbekistan.

“Mereka adalah lawan yang paling mencabar bagi saya,” kata Genivan.

Kemenangan itu juga telah melayakkan Genivan menerima gelaran FIDE Master (FM) di bawah Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).

Ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Mahadi, Klang itu lagi, cintanya terhadap dunia catur bermula sejak dia berusia 7 tahun di studio kecil milik bapanya.

Ketika itu, Genivan menyedari bahawa ia merupakan satu permainan yang penuh strategi dan mencabar minda.

“Setiap perlawanan itu, strateginya tidak pernah sama dan ini membuatkan saya tertarik dengannya,” kata Genivan.

Untuk makluman, bapa Genivan, Genkeswaran merupakan bekas pemain catur kebangsaan dan juga jurulatih permainan catur.

MOMEN kejayaan Genivan meraih juara Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 di Ulaanbaatar, Mongolia
baru-baru ini.

Bagi Genivan, dua figura besar dunia catur banyak membentuk caranya berfikir dan bermain.

“Idola saya ialah Grandmaster Bobby Fischer dan Grandmaster Mikhail Tal.

“Fischer memberi inspirasi melalui gaya permainan yang agresif, tepat dan penuh keyakinan. Beliau berani mencipta tekanan sejak awal dan itu mempengaruhi cara saya bermain.

“Tal pula menjadi sumber semangat tersendiri. Walaupun Tal berdepan masalah kesihatan, beliau tetap bermain dengan penuh kreativiti hingga ke akhir hayat.

“Kisah beliau membuktikan bahawa kecintaan terhadap catur mampu mengatasi cabaran paling sukar,” katanya.

Fischer ialah pemain catur legenda dari Amerika Syarikat yang mencipta sejarah bergelar Grandmaster termuda pada tahun 1958, manakala Tai, pemain catur dari Latvia digelar Magician from Riga pada 1960-an.

Kejayaan diraih Genivan pada Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 itu mendapat liputan pelbagai media di negara ini yang berbangga dengan pencapaiannya.

Mengulas strategi menghadapi lawan bagi kejohanan itu, Genivan memberitahu dia banyak menumpukan latihan terhadap pembukaan permainan paling selesa buatnya.

“Sebagai persiapan, saya menumpukan latihan kepada pembukaan yang saya rasakan paling selesa, analisis permainan Grandmaster dan banyak latihan sparring dalam talian.

“Saya juga memastikan tidur cukup dan menjaga mental supaya kekal stabil sepanjang pertandingan,” katanya.

Berkongsi tentang detik penting yang menentukan kemenangannya, Genivan berkata, ia adalah pada pusingan ketujuh.

“Detik penting yang menentukan kemenangan saya adalah pusingan ketujuh, apabila saya berjaya menewaskan seorang pemain ranking teratas kejohanan.

“Kemenangan itu memberi momentum besar dan meningkatkan keyakinan saya untuk menyelesaikan baki pusingan dengan baik,” katanya.

Sebagai remaja hebat yang sedang membina nama dalam dunia catur, Genivan amat berterima kasih dan bersyukur dengan sokongan yang sentiasa diterima daripada ibu bapa, jurulatih dan rakan-rakan.

“Ibu bapa dan jurulatih adalah sumber semangat utama. Mereka sentiasa menyokong saya dari awal hingga kemenangan ini. Selain itu, saya juga menerima banyak dorongan daripada rakan-rakan di sekolah serta komuniti catur.

“Saya amat berterima kasih kepada Chess Master Journey, ET Ideas, Malaysian Chess Federation (MCF), Chess Hub, Persatuan Catur Negeri Selangor (PCNS) dan Persatuan

Catur Daerah Klang (PCDK) kerana menyediakan persekitaran latihan, peluang pertandingan dan sokongan moral yang sangat membantu perkembangan saya sebagai seorang pemain catur,” ujarnya.

Mengakhiri bicara, Genivan berkata, dia menyasarkan untuk mencapai gelaran Grandmaster satu hari nanti.

“Sasaran saya untuk sertai lebih banyak kejohanan antarabangsa, meningkatkan rating saya sehingga seterusnya mencapai gelaran Grandmaster,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN