fbpx

Nikah ekspres 10 minit di kedai kopi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Fenomena nikah siri dalam kalangan warga asing kini semakin popular apabila ada pihak menawarkan perkhid­matan nikah ekspres dengan bayaran serendah RM300 tanpa perlu melalui pelbagai prosedur rumit.

Modus operandi upacara nikah ini sangat ringkas iaitu hanya mengambil masa sekitar 10 minit dan dijalankan tanpa sebarang dokumen atau semakan status perkahwinan pasangan yang terlibat.

Lebih mengejutkan apabila pihak berkenaan bukan sahaja menyediakan tok kadi tidak bertauliah, malah turut mempunyai saksi selain menawarkan sijil nikah palsu bagi meyakinkan pasangan yang ingin berkahwin secara senyap.

Berdasarkan tinjauan Kosmo!, kegiatan haram ini dikesan aktif di kawasan tumpuan pekerja asing seperti Klang, Puchong, Kajang, Ampang, Gombak, Johor Bahru selain di Semporna.

Upacara dilakukan di bilik sewa, rumah kongsi, kedai makan atau mana-mana lokasi yang te­lah dipersetujui pelanggan.

Pasangan juga tidak perlu melalui kursus kahwin, ujian HIV atau membawa wali sebenar, menjadikan prosesnya sangat ringkas dan longgar.

Majoriti pelanggan adalah warga asing yang tidak mempunyai dokumen lengkap, namun sindiket turut menerima permintaan daripada lelaki Malaysia yang mahu berpoligami secara senyap tanpa perlu mendapat­kan kebenaran isteri pertama atau Mahkamah Syariah.

Seorang jurujual yang mahu dikenali Azamli, 40, berkongsi pengalaman apabila rumah tangganya hancur gara-gara tindakan isteri yang didakwa berkahwin lain melalui perkhidmatan nikah siri.

Menurut Azamli, isterinya menghilangkan diri selama beberapa bulan sebelum muncul semula dengan pengakuan bahawa dia telah bernikah dengan lelaki Thailand yang juga rakan sekerjanya sendiri.

Lebih mengejutkan, pernikahan itu dilakukan sedangkan Azamli tidak pernah melafazkan cerai atau menghadiri sebarang proses perceraian rasmi.

“Saya terpaksa membuat laporan polis dan memohon campur tangan pihak berkuasa agama kerana wanita tersebut masih sah sebagai isteri saya di sisi undang-undang,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

Menurut beliau, ramai juga dalam kalangan lelaki Malaysia yang menggunakan nikah siri untuk berkahwin dengan wanita Indonesia secara sembunyi de­ngan memberikan pelbagai alasan termasuk mengelak daripada diketahui isteri pertama.

“Jika kegiatan ini tidak dibanteras, semakin ramai keluarga akan berpecah kerana suami atau isteri mudah berkahwin tanpa prosedur betul dan akhirnya meninggalkan isteri serta anak-anak,” katanya.

Realitinya, nikah siri tidak diiktiraf sebagai perkahwinan sah di Malaysia walaupun sebahagian rukun nikah dipenuhi.

Kesan boleh menjerumuskan pasangan ke dalam pelbagai risiko termasuk anak tidak dapat didaftarkan sebagai sah taraf, isteri tidak boleh menuntut nafkah atau hak penjagaan.

“Perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan di pejabat agama dan suami boleh berkahwin berkali-kali tanpa rekod rasmi.

“Ada kes lelaki bernikah 3 hingga 4 kali setahun menggunakan modus operandi yang sama sebelum menghilangkan diri selepas mendapat mangsa baharu,” tambah Azamli.

Mengikut undang-undang Malaysia, sesiapa yang menikahkan pasangan tanpa tauliah boleh dikenakan denda sehingga RM3,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pasangan yang terlibat pula mungkin diarahkan ke Mahkamah Syariah untuk proses pembatalan pernikahan.

Sementara itu, seorang mekanik, Zalisha, 38, berkata, pada 2013 dia pernah berkahwin dengan seorang wanita dari Me­dan, Indonesia sehingga memperoleh anak lelaki yang kini berusia 9 tahun.

Apa yang menjadi permasalahan apabila isterinya itu pulang ke kampung halaman dan membawa lari bersama anak kandung mereka ke negara tersebut.

“Masalah berlaku apabila anak saya tidak boleh daftar sekolah di sini, jadi kami terpaksa berpisah untuk masa depan anak tunggal kami.

“Bekas isteri bawa balik anak ke Indonesia, di sana dia boleh bersekolah dan ada kad pengenalan, mereka di sana boleh buat apa sahaja sehingga anak saya ‘dibinkan’ kepada bapa saudaranya,” kata Zalisham.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN