fbpx
Kes buli makin menjadi-jadi di sekolah. - Gambar hiasan

38 kes buli sehari, selamatkah sekolah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU lalu, negara dikejutkan dengan pendedahan bahawa purata 14,000 kes buli berlaku setiap tahun di sekolah.

Jika dicongak, sebanyak 1,166 kes buli berlaku setiap bulan dan sekurang-kurangnya 38 kes direkodkan setiap hari di institusi pendidikan.

Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, data itu sekali gus menunjukkan kanak-kanak adalah kumpulan paling terdedah dengan budaya buli yang semakin membimbangkan.

“Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh hanya dua bulan, dari Ogos hingga Oktober, merekodkan 160 kes, dengan 78 peratus mangsa berusia antara enam hingga 17 tahun.

“Lebih menyedihkan apabila sekolah yang sepatutnya menjadi zon selamat bertukar menjadi lokasi utama kejadian, menyebabkan ramai kanak-kanak menderita dalam diam tanpa laporan, suara dan perlindungan,” katanya.

Menerusinya, kerajaan terpaksa mengambil tindakan segera dan menyeluruh apabila buli bukan sahaja meninggalkan impak fizikal, malah boleh menghancurkan emosi dan masa depan kanak-kanak.

Persoalan yang bermain di setiap benak fikiran terutama para ibu bapa, selamat dan terhindarkah anak-anak mereka di sekolah daripada kes buli?

Apakah antara tindakan yang bakal ataupun sedang diambil kerajaan mahupun pihak terbabit dalam usaha mengekang kes buli di sekolah daripada terus meruncing?

Pakar Psikologi, Universiti SEGi, Prof. Madya Datin Dr. Mariani Md. Nor ketika dihubungi menyambut baik cadangan kerajaan mengenai penubuhan Tribunal Antibuli dengan kuasa membuat perintah pampasan sehingga RM250,000 terhadap si pembuli.

“Menerusinya, tribunal dilantik berperanan seperti badan kehakiman tetapi lebih ringkas, cepat dan mesra pengguna.

“Ini sekali gus membolehkan mangsa mendapatkan keadilan tanpa perlu melalui proses mahkamah yang rumit dan berpanjangan,” katanya.

Mariani percaya, pembentukan tribunal itu kelak dijangka menjadi pelindung dan ‘sinar’ baharu kepada murid-murid atau pelajar yang selama ini menjadi mangsa dalam diam.

Sementara itu, menjawab persoalan masih selamatkan sekolah daripada terhindar daripada kes buli, Pensyarah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti

Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Prof. Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berkata, jika dilihat secara keseluruhannya, sekolah di negara ini masih dijamin selamat.

“Kita mempunyai lebih 10,000 sekolah dengan ratusan ribu pelajar dan lebih 400,000 guru secara total.

“Malah PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memastikan keselamatan di sekolah kekal terjamin,” katanya.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan juga sedang giat memperkukuh peranan guru kaunseling di setiap sekolah menerusi latihan dan pendedahan berkaitan itu tersebut.

Ia katanya, bertujuan membantu mengenal pasti tanda-tanda awal pelajar yang dibuli atau berisiko terlibat dalam kesalahan disiplin lain.

“Secara tidak langsung dapat bertindak lebih awal, sekali gus menangani isu buli secara menyeluruh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN