BULU haiwan peliharaan juga menjadi antara punca utama alahan dalam kalangan kanak-kanak. – Gambar hiasan

Seorang daripada lima kanak-kanak di Malaysia alami alahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KES alahan dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat pada ketika ini. Dahulunya dianggap sebagai masalah kecil, kini telah menjadi masalah kesihatan yang ketara dengan pelbagai pencetus seperti hama habuk dan tindak balas makanan yang teruk.

Dianggarkan, seorang daripada lima kanak-kanak di Malaysia mungkin mengalami alahan, sekali gus menekankan keperluan segera bagi ibu bapa untuk memahami, mengurus dan mencegah keadaan ini.

Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Pernafasan Kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Noor Zehan Abdul Rahim berkata, alahan bukan sekadar bersin atau ruam pada kulit.

Menurutnya, ia boleh memberi kesan mendalam terhadap kualiti hidup seseorang kanak-kanak.

“Kehidupan di bandar mendedahkan kanak-kanak kepada alergen yang lebih tinggi seperti hama habuk, asap dan pencemaran.

“Walaupun ibu bapa tidak boleh mengawal segala-galanya, mereka boleh mengambil langkah untuk menjadikan rumah mereka tempat perlindungan yang lebih selamat,” katanya.

Hama habuk merupakan perengsa paling lazim untuk alahan pernafasan di Malaysia. Ia membiak dalam keadaan lembap dan bersembunyi di dalam tilam, permaidani dan barangan perabot lembut.

Noor Zehan menjelaskan, bulu haiwan peliharaan juga menjadi antara punca utama.

“Haiwan peliharaan hipoalergenik juga boleh mencetuskan tindak balas pada kanak-kanak yang sensitif.

“Selain itu, walaupun ia tidak kerap terjadi berbanding di negara-negara Barat, alahan makanan terhadap kacang tanah, makanan laut dan susu juga boleh berlaku.

Tambahnya, debunga dan kulapuk juga merupakan pencetus alahan, terutama di kawasan bandar yang lembap.

Simptom alahan berbeza-beza dan selalunya muncul antara umur dua hingga tiga tahun.

Walau bagaimanapun, alahan makanan boleh berlaku seawal enam bulan, manakala alahan pernafasan seperti demam alergi biasanya bermula sekitar umur lima atau enam tahun.

Alahan pernafasan boleh menyebabkan bersin, batuk atau hidung tersumbat.

Rinitis alergi, alahan kanak-kanak yang paling lazim boleh menyebabkan bersin, hidung berair dan tersumbat.

Tindak balas kulit seperti ruam atau ekzema mungkin disebabkan oleh alahan kepada alam sekitar atau pemakanan, manakala muntah atau cirit-birit pula menandakan alahan terhadap makanan.

“Ibu bapa perlu perhatikan jika ada simptom yang berulang.

“Jika anak kerap menunjukkan tindak balas selepas mengambil sesuatu makanan atau berada dalam persekitaran tertentu, ia perlu disiasat dengan lebih lanjut,” pesan Noor Zehan.

Beliau mengesyorkan menyimpan diari simptom untuk membantu mengenal pasti corak dan pencetus alahan.

Alahan yang tidak dirawat boleh memberi risko yang jauh melangkaui ketidakselesaan sementara.

Rinitis alergi yang berterusan boleh menyebabkan sinusitis kronik atau asma yang boleh mengganggu tidur, fokus dan aktiviti harian anak-anak.

Kadar asma dalam kalangan kanak-kanak Malaysia menyaksikan peningkatan daripada 6.4 peratus kepada 9.4 peratus bagi kanak-kanak berusia enam hingga tujuh tahun, manakala daripada sembilan peratus meningkat kepada 13 peratus bagi mereka berusia 13 hingga 14 tahun. Ia amat membimbangkan.

Noor Zehan berkata, asma yang disebabkan oleh alahan yang tidak dirawat boleh mengubah kehidupan jika tidak diuruskan dengan betul.

“Amat menyedihkan melihat kanak-kanak bergelut dengan sesuatu yang boleh dicegah atau dikawal,” jelasnya.

Walaupun alahan adakalanya membebankan, Noor Zehan menggariskan beberapa langkah mudah yang efektif sebagai panduan kepada ibu bapa untuk mengurangkan pendedahan kepada alergen dan menguruskan simptom, lantas membawa perubahan yang besar.

Antaranya ialah bersihkan dan kurangkan barang serta gunakan sarung kalis hama habuk dan vakum dengan kerap menggunakan penapis High Efficiency Particulate Air (HEPA).

Seterusnya, elakkan terdedah kepada asap, ini kerana partikel yang tertinggal pada pakaian boleh memburukkan alahan.

“Uruskan alergen haiwan peliharaan, jauhkan haiwan peliharaan daripada bilik tidur dan bagi kes-kes yang teruk, pertimbangkan untuk mencari rumah baharu untuknya.

“Perkenalkan makanan yang berisiko cetus alahan dengan berhati-hati.

“Pilih pembersih udara dengan bijak dan elakkan pewangi atau bahan kimia yang boleh merengsakan saluran pernafasan yang sensitif,” terangnya.

Noor Zehan berkata, terdapat banyak salah faham mengenai alahan, termasuk kepercayaan bahawa kanak-kanak akan sembuh daripadanya secara semula jadi.

“Walaupun sesetengah kanak-kanak berjaya mengatasi alahan, namun kebanyakan alahan berterusan hingga dewasa, lantas memberi kesan kepada kualiti hidup jika tidak diuruskan dengan betul,” jelas.

“Satu lagi mitos ialah mengelakkan pencetus seperti minuman sejuk boleh mencegah terjadinya masalah pernafasan.

“Dengan pengurusan yang betul, kanak-kanak yang menghidap asma atau rinitis alergi boleh menjalani aktiviti normal tanpa sebarang kekangan yang tidak perlu,” ujarnya.

Ibu bapa mungkin risau sekiranya anak mereka akan terlalu bergantung kepada inhaler tetapi Noor Zehan menepis kebimbangan ini.

Terangnya, inhaler tidak menyebabkan ketagihan.

“Ia adalah alat penting yang boleh membantu kanak-kanak bernafas dengan lebih mudah dan sihat.

“Apabila keadaan bertambah baik, pergantungan kepada ubat boleh dikurangkan secara beransur-ansur,” ujarnya.Selain itu, pandemik sebelum ini juga telah mempengaruhi trend alahan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada jangkitan buat sementara waktu, melegakan simptom pernafasan, namun ia juga telah mengehadkan peluang untuk membina imuniti.

Noor Zehan berkata, pendedahan yang berkurangan bermakna kanak-kanak tidak berpeluang membina imuniti yang penting, menjadikan mereka lebih mudah terdedah selepas pandemik.

“Perkenalkan semula anak anda secara beransur-ansur kepada pelbagai persekitaran sambil mengekalkan kebersihan yang baik.

“Ini membantu membina semula ketahanan badan mereka dan membolehkan anda mengenal pasti punca alahan,” ujarnya.

Menguruskan alahan kanak-kanak memerlukan kerjasama antara ibu bapa dan penyedia penjagaan kesihatan.

Pemeriksaan berkala dengan pakar pediatrik adalah penting untuk mendapatkan pengesanan dan rawatan awal.

Noor Zehan menjelaskan, tahun-tahun awal adalah penting untuk kesihatan jangka panjang.

“Sentiasa mencari maklumat, ambil tindakan dan jangan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat perubatan.

“Setiap langkah yang anda ambil sekarang akan membantu anak anda menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bahagia,” pesannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN