ALOR SETAR – Ribuan pelancong tempatan dijangka memilih Pulau Langkawi sebagai destinasi alternatif apabila Hatyai yang terjejas teruk akibat banjir besar belum bersedia menerima kunjungan dalam masa terdekat.
Ia ekoran industri pelancongan di Hatyai hanya dijangka pulih sepenuhnya pada penghujung Januari 2026 sedangkan musim cuti persekolahan akan bermula kira-kira dua minggu lagi.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, dia berharap sektor pelancongan di Langkawi bersedia menerima pelancong dengan menitikberatkan kualiti perkhidmatan masing-masing.
“Inilah masanya untuk operator pelancongan menarik pelancong baharu dan memastikan mereka berpuas hati serta mahu datang lagi ke Langkawi,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, pengusaha penginapan, kenderaan sewa dan peniaga makanan boleh mengambil kesempatan ini dengan menawarkan pakej percutian murah setanding Hatyai.
“Pastikan tiada lagi isu berkaitan harga makanan dan caj tidak munasabah seperti tular sebelum ini,” ujarnya.
Katanya, syarikat feri juga perlu menambah trip sepanjang cuti persekolahan dan cuti umum bagi melancarkan perjalanan pelancong ke pulau itu, selain menambah baik keadaan feri demi keselesaan penumpang.
“Kemudahan feri sangat penting kerana ia merupakan penghubung utama pelancong ke Langkawi, selain penerbangan,” katanya.
Seorang ejen pelancongan, Yusmiza Yum, 44, dia telah menerima beberapa tempahan di saat-saat akhir untuk cuti bulan Disember ini ke Langkawi.
Katanya, ada inap desa yang dijaganya tidak mendapat tempahan sejak dua bulan lalu, namun selepas banjir melanda Hatyai, dia ada menerima tempahan daripada pelancong dalam dan luar negara.
“Ada beberapa pelancong yang membatalkan hasrat untuk ke Hatyai sebab banjir. Pelancong itu beritahu saya mereka akhirnya memilih Langkawi kerana sukakan Malaysia,” katanya.
Ujarnya, beberapa hotel di Chenang telah pun penuh walaupun cuti persekolahan akan bermula kira-kira dua minggu lagi.
Pengusaha bot pelancong, Rosli Yahya, 57, berkata, dia menjangkakan berlaku peningkatan tempahan pada saat-saat akhir menjelang musim cuti persekolahan.














