PADA 22 November lalu (Sabtu), seawal pukul 7 pagi, para peserta telah mula berkampung di Telaga Nenas bagi menyertai pertandingan ini. Sinonim dengan nama ‘Barra’, maka pertandingan itu lebih memberi fokus kepada tangkapan spesies ikan siakap putih (barramundi).
SKFC telah bekerjasama dengan Tachi selaku penaja utama dan dibantu oleh Mustad dan Gapis Aqua Game yang juga merupakan tuan rumah.
Antara kategori yang dipertandingkan untuk edisi kali ini adalah King of Barra iaitu tiga ekor tangkapan terbaik), Barra (terbanyak) dan Ikan Selain Barra (terberat).
Selain itu, penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah.
Beberapa pempengaruh terkenal dalam aktiviti kayak turut bersama seperti Vluq, Nadi, Faiz Panjang dan lain-lain untuk memeriahkan suasana.
Selepas menerima taklimat daripada pihak penganjur, peserta mula dilepaskan sekitar pukul 8.30 pagi dan masing-masing mula menuju ke lokasi yang dirasakan berpotensi. Keadaan cuaca yang amat baik telah menyebelahi kami, dan semua urusan perjalanan pertandingan menjadi lebih mudah.

Bagi peserta kayak, mereka dilengkapi enjin atau thruster untuk ke lokasi-lokasi yang lebih jauh sehingga ke Changkat Keruing.
Pertandingan telah ditamatkan secara rasminya pada pukul 4 petang dan proses penjurian dilaksanakan sebelum majlis penyampaian hadiah.
Hampir kesemua peserta yang hadir tidak ‘kumpau’ dan masing-masing pulang membawa hasil.
Sesi penjurian telah selesai sekitar pukul 4.30 petang, sebelum diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada semua peserta.
Rata-rata peserta yang hadir amat berpuas hati dan jelas terpancar kegembiraan di wajah masing-masing.

Acara kali ini dimenangi oleh Ali Mohamed Lep untuk kategori King of Barra dengan tiga ekor tangkapan terbaik seberat 2.284 kilogram (kg).
Kategori Barra Terbanyak pula dimenangi oleh Muhammad Farid Md. Saad dengan keseluruhan tangkapan sebanyak 29 ekor.
Bagi kategori Ikan Selain Barra dimenangi oleh Yuzman Osman dengan ikan belukang seberat 1.328 kg.
Menurut Presiden SKFC, Aziz Abdullah, pertandingan itu merupakan acara tahunan yang dijalankan untuk semua ahli.
Selain bertanding, acara itu juga merupakan platform utama untuk semua peserta berkumpul dan saling mengenali memandangkan ahli SKFC menetap berjauhan antara satu sama lain.
SKFC jakan terus komited melaksanakan pelbagai aktiviti kayak ‘fishing’ bagi menarik lebih ramai orang untuk menceburi aktiviti itu.














