RASA kagum perlahan-lahan menyelinap dalam diri penulis saat melangkah masuk ke sekolah yang teguh di tengah-tengah hiruk-pikuk Chow Kit, Kuala Lumpur.
Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) kelihatan persis sekolah umum biasa, lengkap dengan asrama sendiri, namun di sebaliknya tersimpan kisah hidup anak-anak yang meniti perjalanan luar biasa.
Penulis diperkenalkan kepada tiga pelajar yang baru-baru ini meraih gelaran johan Pertandingan Video Pendek Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Mereka ialah Wan Mohd. Khairul Anuar Wan Khohairi, Muhammad Aiman Abdullah, dan Muhammad Haikal Shah yang semuanya kini berada di tingkatan lima dan merupakan sebahagian daripada Kumpulan Mudalela yang meneroka bidang filem, teater dan penyiaran.
Wan Mohd. Khairul Anuar, yang menyertai SBJK sejak darjah tiga kini diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai ketua pengawas dan ketua pelajar sekolah berkenaan.
Anak sulung kepada tiga beradik tersebut mengakui kemenangan itu melonjakkan keyakinannya untuk meneroka kerjaya dalam bidang perfileman atau pembuatan kandungan selepas tamat sekolah nanti.
“Untuk penyertaan pertandingan JPJ, kami menghasilkan karya dengan penceritaan yang dekat dengan remaja, terutama dari segi emosi, hasil bimbingan guru perfileman kami.
“Filem pendek itu mengisahkan lima sahabat yang kehilangan rakan mereka akibat kemalangan kerana gagal mematuhi peraturan jalan raya.
“Kemenangan tersebut membuktikan bahawa kami mempunyai masa depan dalam bidang ini sekiranya kemahiran kami terus digilap,” katanya kepada K-Remaja ketika ditemui baru-baru ini.
Untuk pengetahuan, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dibuka pada 2013 dan merupakan sebuah inisiatif pendidikan alternatif di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
SBJK menerima pelajar daripada beberapa kategori, termasuk kanak-kanak jalanan, kanak-kanak terpinggir, kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri serta kanak-kanak yatim piatu yang tinggal di bawah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar.
Institusi dengan 15 orang guru dan pentadbir itu merekodkan 152 murid dari peringkat prasekolah hingga menengah atas, meliputi usia enam hingga 19 tahun.
Pelajar mengikuti subjek asas seperti membaca, menulis dan mengira, sama seperti sekolah kebangsaan lain.
Namun, pengajaran disesuaikan mengikut tahap dan latar belakang pelajar kerana ada antara mereka yang sebelum ini tidak bersekolah.
Selain itu, mereka memiliki kelas kemahiran seperti seni, muzik, memasak, menjahit, teater, perfileman dan podcast.
Kelas kemahiran merupakan salah satu inisiatif penting sekolah dalam menyediakan peluang pekerjaan yang tidak memerlukan dokumen pengenalan diri.
Pelajar boleh memanfaatkan platform seperti media sosial untuk mengetengahkan bakat mereka sekali gus menjana pendapatan peribadi selepas tamat sekolah nanti.
Mengulas mengenai cita-cita akademiknya, Wan Mohd. Khairul Anuar menyimpan hasrat untuk menjadi arkitek sekiranya mendapat peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Walaupun pembuatan kandungan merupakan salah satu inisiatif untuk saya menjana kehidupan tanpa memerlukan sebarang dokumen, saya masih ada cita-cita untuk menjadi arkitek satu hari nanti.
“Kalau ada rezeki, saya teringin nak masuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Oleh itu, saya akan cuba untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia nanti,” katanya.
Untuk pengetahuan, pelajar tanpa dokumen identiti biasanya tidak layak memasuki IPT secara biasa kerana syarat pendaftaran memerlukan MyKad atau dokumen sah.
Bagaimanapun, dua pelajar SBJK mencipta sejarah apabila buat julung kali diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi akademik 2023/2024.
Kedua-dua pelajar tersebut diserap melalui Program Jejak Anak Watan dan merupakan peserta Program Zero Murid Tanpa Dokumen (Program Zamrud) yang bertujuan membantu pelajar mendapatkan permohonan kewarganegaraan.
Pengecualian tersebut jarang berlaku dan memerlukan sokongan luar biasa, termasuk bantuan sekolah, program khas dan pengiktirafan universiti.
Ini bermakna peluang untuk pelajar tanpa dokumen mencapai kejayaan seperti ini adalah amat tipis, bukan sesuatu yang biasa atau dijamin.
Oleh itu, seorang lagi pelajar, Muhammad Haikal Shah, yang mula masuk ke sekolah berkenaan sejak peringkat prasekolah memilih muzik sebagai satu lagi alternatif kerjaya masa depannya.
“Pada asalnya, saya tak tahu pun saya minat muzik. Tetapi apabila cikgu masukkan saya ke kelas muzik, saya mula sedar tentang bakat saya dalam bermain gitar dan bass.
“Siapa sangka, rezeki saya memenangi gelaran juara pada IYC Got Talent 2023 dalam kategori band muzik. Itu sudah cukup memberi saya semangat untuk melihat cabang ini sebagai satu lagi kemungkinan,” katanya.
Selain menjuarai Pertandingan Video Pendek Peringkat Kebangsaan anjuran JPJ, tahun 2025 turut menyaksikan pelajar SBJK meraih satu pingat perak serta satu pingat gangsa dalam Pertandingan Robotik di Jakarta, Indonesia.
Dalam Pertandingan Sekolah Model Khas Peringkat Kebangsaan di Kedah, sekolah tersebut turut muncul johan keseluruhan dengan memenangi tiga pingat emas, satu pingat perak, satu saguhati serta Anugerah Khas Pakaian Tarian Terbaik.
SBJK turut mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Koir anjuran Pertubuhan Belia Antarabangsa di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Selain itu, penulis turut dibawa menonton latihan teater berjudul Teater Muzikal Imersif Sumpahan Puri Senada, yang dipentaskan pada Sabtu lalu di dewan sekolah berkenaan.
Teater tersebut diusahakan dengan kerjasama pelajar dan tenaga pengajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Untuk kerjasama tersebut, pasukan UPSI datang menjalankan latihan teater bersama pelajar SBJK pada setiap hari Sabtu dan Ahad.
Menurut Penolong Kanan Kokurikulum SBJK, Moh Azam Rezali, mereka turut merancang untuk ke Itali pada bulan April 2026 bagi mementaskan teater muzikal Senyuman Puteri.
Moh Azam pernah berkhidmat sebagai jurulatih teater di Sekolah Seni Malaysia Sarawak sebelum menjawat jawatan penerbit penyiaran di Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Bukit Kiara yang menerbitkan Didik TV.
Atas dasar pengalaman dan komitmennya, dia berusaha memastikan para pelajar SBJK mendapat pendedahan yang luas serta kemahiran praktikal yang berguna.
“Pengetua kami, Zamzuri Abdullah, sangat mengutamakan peluang dan penglibatan aktif seluruh murid SBJK demi membentuk personaliti mereka dan persediaan menghadapi masa depan.
“Setiap aktiviti dan program dianjurkan untuk memberi pendedahan praktikal yang berguna serta mengasah bakat mereka.
“Semua ini bertujuan membentuk pelajar yang mampu mengemudi masa depan mereka sendiri, meskipun ramai dalam kalangan mereka membesar dalam situasi yang serba mencabar,” katanya.














