SEJAK sekian lama, kek sarang semut Kek Molek cukup terkenal menerusi jualan online sehingga tular dalam media sosial sebelum ini.
Bagi memenuhi permintaan pelanggan, pemilik jenama Kek Molek telah membuka kedai yang terletak di Jalan J9, Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Di kedai tersebut, kek sarang semut dijual pada harga RM5 sepotong atau RM18 sekotak dengan pilihan perisa asli dan pandan.
Selain kek sarang semut, pelanggan juga boleh mendapatkan pelbagai variasi pemanis mulut lain di kedai Kek Molek.
Antaranya kek lobak merah, kek pisang, kek pisang coklat, kek lemon, kek marble butter, brownies dan marble burnt cheese.
Menariknya, kedai tersebut turut menjadi tumpuan penggemar menu sarapan pagi, misalnya cekodok pisang, cucur bilis, roti bakar kaya, lempeng, roti bakar, soto dan menu terlaris, nasi lemak sambal sardin.
Menurut pemilik Kek Molek, Shalkina Kamal, selain kek, nasi yang lembut dan penuh rasa lemak yang merupakan resipi keluarga sejak turun-temurun menjadi tarikan utama pelanggan di kedainya.

Antara pilihan nasi lemak yang ditawarkan adalah nasi lemak biasa, nasi lemak rendang daging, nasi lemak ayam masak merah dan nasi lemak ayam goreng berempah.
“Saya memilih menghidangkan nasi yang lembut dan sedikit melekit kerana itu merupakan cara saya menikmati nasi lemak ketika kecil dahulu.
“Tidak dinafikan, ada yang meminta agar menggunakan beras basmathi tetapi saya lebih memilih hidang begini.
“Hal ini kerana saya ingin pelanggan merasai nasi lemak seperti di kampung,” katanya kepada CitaRasa.
Lanjut bercerita, Shalkina memberitahu, selepas sedekad menjalankan perniagaan dalam talian menerusi jualan kek sarang semut, dia akhirnya rasa terpanggil untuk mempunyai kedai sendiri.
Katanya, sambutan hangat daripada warga setempat menjadi pembakar semangat untuk membuka kedai makan sejak tahun lalu.
“Secara peribadi, saya memang seorang penggemar menu sarapan pagi dan minum petang. Disebabkan itu, saya mengetengahkan sajian sarapan, hidangan minum petang di kedai ini.
“Di sini, menu ditawarkan bersifatkan tradisional atau ‘ala kampung’ termasuk minuman kopi tempatan dari pelbagai negeri seperti Kedah, Johor dan Pahang.

“Salah satu pilihan kopi yang ditawarkan adalah Cap Gantang dari Baling, Kedah.
“Setiap bulan, pilihan kopi kami sentiasa berubah bagi memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati rasa kopi berbeza,” ujarnya.
Dalam kata mudah, hidangan yang ada di Kek Molek bersifat klasik, namun disajikan dengan gaya moden bersama dekorasi dan susun atur kedai mengikut cita rasa anak muda.
Selain pilihan hidangan berasingan, Kek Molek turut memperkenalkan menu set makan tengah hari pada harga RM15 termasuk minuman. Pilihan set makan tengah hari sentiasa berubah-ubah pada setiap hari mengikut kesesuaian dan stok bahan mentah.
Untuk makluman, kedai makan Kek Molek beroperasi Rabu hingga Isnin bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang sebelum ini. Bagi memenuhi permintaan pelanggan, Shalkina telah mengambil pendekatan untuk melanjutkan waktu operasi sehingga 7 malam bermula pada bulan ini.














