fbpx
Toman bujang banyak berlegar di kawasan sangkar ikan trapia.

Menduga ‘penunggu’ sangkar ikan trapia Empangan Temenggor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di Tasik Temenggor, Perak terutama di selatan terdapat kawasan sangkar ternakan ikan trapia. Ikan ini di dalam keluarga yang sama dengan tilapia. Ia telah mengalami proses perubahan
genetik dan menjadi spesies yang dipanggil GenoMar Supreme Trapia.

Profilnya sedikit berbeza da­ripada tilapia dengan kepala yang lebih pendek, ekor dan sirip lebih kecil, badan lebih lebar dan isi lebih tebal.

Ikan ini mendapat permin­taan yang tinggi dari dalam dan luar negara terutama untuk industri filet.

Sangkar ternakan trapia
Sangkar-sangkar ternakan ikan trapia ini menjadi tumpuan ikan-ikan kecil mencari makanan yang tersisa dari sangkar.

Pada masa sama, spesies ikan pemangsa seperti se­barau dan toman juga berlegar untuk membaham ikan-ikan kecil ini.

Apabila ada ikan target untuk gewang, maka sebahagian daripada pengilat juga menjadikan lokasi ini salah satu tempat untuk mempersembahkan gewang.

Sejujurnya, saya kurang mendapat pendedahan kepada aktiviti mengilat di sekitar kawasan sangkar ikan ini kerana lebih ke arah memancing toman di kawasan highway dan suak-suak di Royal Belum.

Apabila diberitakan ada tekong boleh membawa pemancing mengilat di kawasan sangkar, maka satu trip tiga hari dua malam diadakan untuk kami bertiga.

Semasa trip berlangsung, paras air empangan agak rendah dan boleh kelihatan kawasan kayu-kayu mati termasuk beberapa pulau kecil timbul di beberapa tempat.

Peringatan
Ada beberapa peraturan jika mengilat di kawasan sangkar ikan trapia ini.

Demi menjaga jaring yang mengelilingi sangkar ini, penggunaan single hook amatlah disarankan.

Ini kerana, jika menggunakan mata tiga, potensi untuk mata kail tersebut tersangkut pada jaring sangkar adalah tinggi.

Proses untuk meleraikan sangkut ini boleh merosakkan jaring sangkar ikan.

Penggunaan gewang selaman dalam juga dilarang di kawasan ini kerana risau tersangkut bahagian bawah jaring sangkar.

Joran dengan kekuatan minimum 10-20 paun (lb), tali minimum 30lb, perambut minimum 40lb disyorkan kerana toman gemar membenam ke struktur seperti jaring, paip besar serta tali sauh sangkar.

Paling penting, dapatkan keizinan pekerja-pekerja di kawasan sangkar terlebih dahulu untuk menjalankan aktiviti mengilat di situ.

Hormati semua undang-undang yang ditetapkan dan anda juga dilarang sekeras-kerasnya ‘mencuri’ ikan trapia.

Sebarau menyambar gewang yang dilemparkan ke kawanan anak-anak ikan toman.

Hari pertama

Seawal pukul 6.30 pagi, bot kami bergerak terus ke sangkar pertama, tidak lama kemudian ikan toman saiz bujang baya-baya dua kilogram (kg) terus didaratkan kerana ada frenzy berhampiran sangkar, ia digoda dengan soft plastic.

Tidak lama kemudian, kumpulan toman bujang itu menjadi culas, lantas kami bertukar lokasi ke kawasan pokok-pokok mati yang timbul berhampiran.

Kami kena dua hingga tiga ekor lagi toman bujang di sini dengan soft plastic.

Selepas rehat tengah hari, kami menghimpit kawasan sangkar semula. Kebetulan waktu itu hujan dan kami difahamkan oleh tekong, ikan toman akan menjadi lebih agresif semasa hujan. Ia terbukti apabila sambaran demi sambaran berlaku.

Ini kali pertama saya saksikan fenomena ikan toman mengejar gewang tanpa henti, cuma tidak semua berjaya dinaikkan.

Ada yang miss call, dan banyak terputus kerana kami tidak menggunakan tali kevlar untuk soft plastic digunakan.

Hari kedua
Belajar daripada kesilapan, itulah ungkapan sesuai untuk hari kedua. Kami menggunakan tali kevlar panjang sejengkal diikat sebelum soft plastic sebagai insurans. Waktu pagi kami membuat keputusan untuk memasuki Taman Negeri Royal Belum.

Kelibat toman naik mengambil nafas sangat sukar dilihat. Hanya ada satu kumpulan anak toman yang dijaga induknya kelihatan. Saya berjaya menaikkan ibu toman tersebut dengan gewang Megabass Deep X.

Mana-mana suak yang kami masuk kurang kelihatan toman menimbul termasuklah di Kinarong iaitu kawasan jarang menghampakan. Cuma rakan saya yang mendapat sambaran oleh ikan toman ‘rempit’ menggunakan buzzbait.

Nasihat tekong supaya sambung sesi petang di kawasan sangkar semula dan ternyata itu satu keputusan yang tepat.

Sampai sahaja di kawasan sangkar, balingan gewang saya terus disambut oleh seekor ikan toman yang bersaiz hampir 4kg. Ini diikuti dengan double strike toman yang lain selepas itu.

Hari ketiga
Pada hari terakhir, kami meletakkan harapan tinggi untuk mencari spesimen toman yang berskala besar. Bot kami menuju ke kawasan berhampiran pintu empangan, namun tidak boleh merapat terlalu dekat kerana itu merupakan kawasan larangan dan berisiko tinggi.

Balingan pertama menggunakan pencil topwater Duo Realis, beberapa kali disergap oleh ikan yang tidak diketahui. Balingan susulan terus menjadi senyap sepi tanpa sambaran.

Kemudian, saya lihat ada satu kumpulan anak ikan toman sedang menghampiri bot. Tanpa berlengah, gewang selaman dalam terus dihantar dan ternyata bersahut.

Induk toman dalam lingkungan 3kg cepat sahaja dihela naik sebelum menerpa reba terdekat.

Selepas beberapa minit, kumpulan anak toman yang sama masih kelihatan, gewang terus dihantar lagi dan beberapa kali percubaan selepas itu, sebelum dihentam.

Pada awalnya, kami ingat ia adalah pasangan induk toman yang satu lagi. Namun apabila ikan menghampiri bot, alangkah terkejutnya kami kerana ia merupakan seekor sebarau bersaiz kasar.

Reda dengan kegembiraan menaikkan sebarau tersebut, kami berpatah balik semula ke kawasan sangkar. Balingan demi balingan gewang dilakukan dan hasilnya tiga ekor ikan toman berjaya dinaikkan.

Kami menutup trip ini dengan pangalaman baharu yang amat memuaskan. Kami pasti akan ulang lagi kawasan yang sama di trip akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN