ISKANDAR PUTERI – Jalan Pasir Gudang yang sebelum ini pernah direkodkan sebagai antara jalan kedua paling teruk di Malaysia kini telahpun terkeluar daripada senarai berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, jalan berkenaan kini tidak lagi berada dalam senarai 10 jalan terteruk di negara hasil usaha berterusan serta kerja-kerja penambahbaikan yang telah dilaksanakan.
“Dulu masa mula-mula kita ambil alih pemantauan di jalan Pasir Gudang, jalan ini merupakan jalan yang kedua yang terteruk di Malaysia dan sekarang ini sudah keluar daripada 10 jalan yang teruk di Malaysia.
“Cuma peranan yang kita akan laksanakan adalah pemantauan kenderaan berat yang lebih muatan. Jalan Pasir Gudang ini selalu digunakan oleh kenderaan berat sebab banyak industri dan sebagainya.
“Nanti masa penggulungan, saya akan ceritakan tentang perancangan kita untuk pindahkan lori-lori lebih muatan atau kargo ini kepada sistem rail dari Pasir Gudang. InsyaAllah dapat kurangkan impak kerosakan di jalan raya,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke 15 di Kota Iskandar di sini hari ini.
Mohamad Fazli (BN-Bukit Pasir) sebelum itu menjawab soalan tambahan ADUN Permas (BN), Baharudin Mohamed Taib mengenai bilakah projek Lebuhraya Pasir Gudang akan dapat disiapkan..-KOSMO! ONLINE















