NILAI – Gadis-gadis muda di sekitar kawasan Nilai kini hidup dalam ketakutan apabila seorang penunggang motosikal misteri berjaket hitam sering muncul dan giat mencabul mangsa.
Modus operasi suspek dengan menghampiri mangsa yang menunggang motosikal seorang diri sebelum mencabul mereka di kawasan gelap di antara pukul 6 petang hingga 6 pagi.
Kejadian terbaharu melibatkan wanita berusia 23 tahun yang dihampiri suspek berpakaian gelap ketika pulang dari kerja di sekitar kawasan Surau Mahabbah, Desa Indah di sini malam kelmarin.
Menurut seorang wanita, kejadian berlaku ketika adiknya yang menunggang motosikal seorang diri dihampiri suspek yang turut menunggang motosikal lain.
“Tadi adik saya baru balik kerja, nangis-nangis cerita dia kena cabul masa dalam perjalanan pulang. Lelaki tu tiba-tiba datang rapat, pegang dada, lepas itu terus lari,” katanya.
Menurutnya, kejadian berkenaan bukan yang pertama apabila pihak polis memaklumkan terdapat lebih 10 kes serangan serupa dilaporkan di sekitar Nilai termasuk di kawasan Mantin, Semarak dan Nilai Perdana.
“Suspek dipercayai menukar motosikal setiap kali melakukan jenayah, termasuk menggunakan jenis LC, Kriss dan Y15, serta memilih kawasan gelap tanpa televisyen litar tertutup (CCTV) sebagai lokasi sasaran.
“Malah suspek dikatakan sasar perempuan yang jalan atau menunggang motosikal berseorangan, terutama waktu malam,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Indah, Nor Hazlin Mohd. Nor, berkata, beliau telah mendapat maklumat berhubung kejadian itu dan memaklumkan kawasan perumahan berkenaan tidak berpagar selain sering menjadi laluan alternatif pengguna menuju ke pekan Nilai lama.
“Difahamkan kes berlaku tengah malam tadi (kelmarin). Bagaimanapun jalan dalam taman ini tidak gelap, cuma tiada CCTV. Saya difahamkan suspek tidak berhenti, sebaliknya meraba mangsa ketika motosikalnya sedang bergerak sebelum terus melarikan diri.
“Pihak KRT memang ada buat rondaan berkala dan saya syak suspek bukan penduduk taman ini.
“Kalau anak muda taman ini melepak tengah malam, kami akan tegur dan jika ada yang mabuk, kami terus panggil polis,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Surau Al-Mahabbah, Mohd. Erwan Tahir, 42, berkata, kejadian itu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kerana dipercayai lebih daripada seorang wanita telah menjadi mangsa gangguan sama.
“Perkara ini memang baru kecoh di tempat kami. Beberapa penunggang motosikal wanita mendakwa telah diganggu dan diraba. Mereka juga sudah membuat laporan polis dan difahamkan ramai yang menjadi mangsa
“Saya berpendapat pihak berkuasa perlu mengadakan rondaan dan pemantauan lebih kerap. Remaja yang suka melepak dan menunggang motosikal secara berbahaya juga perlu diperhatikan,” katanya.
Mohd. Erwan menambah, pihak surau bersama penduduk turut mengambil langkah proaktif dengan melakukan rondaan malam bagi memastikan keselamatan komuniti terjamin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan terbaru berhubung kejadian cabul melibatkan seorang wanita di kawasan ini semalam dengan 10 laporan polis telah diterima setakat ini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek menjadikan penunggang motosikal wanita berusia antara 18 hingga 35 tahun sebagai sasaran, khususnya di kawasan gelap antara pukul 6 petang hingga 6 pagi.
“Suspek dipercayai menunggang motosikal secara berseorangan dan memakai jaket berwarna gelap. Usaha mengesan dan menahan suspek sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi.














