PORTIMAO – Marco Bezzecchi menganggap kemenangan di Grand Prix (GP) Portugal kelmarin sebagai ganjaran buat kepercayaan dan kerja keras seluruh pasukan Aprilia untuk membina sebuah jentera yang berdaya saing.
Pelumba Itali itu bermula dari petak utama sebelum menamatkan saingan dengan kemenangan bergaya di Litar Antarabangsa Algarve sekali gus menamatkan dominasi Ducati.
Lebis manis, kejayaan itu memastikan Bezzecchi kini selangkah untuk menamatkan musim di tangga ketiga keseluruhan MotoGP 2025 dengan kelebihan 35 mata mengatasi Francesco Bagnaia (Ducati) menjelang pusingan penutup di Valencia.
“Saya sentiasa percaya pada projek ini dan tidak pernah hilang keyakinan terhadap jentera. Pasukan jurutera dan semua di kilang Noale, Itali bekerja keras tanpa henti.
“Walaupun kami agak bergelut di awal musim, kami terus memperbaiki hari demi hari,” katanya.
Menurutnya, kerja berpasukan antara jurutera teknikal, Fabiano Sterlacchini dan pelumba ujian, Lorenzo Savadori banyak membantu proses pembangunan jentera RS-GP yang kini semakin kompetitif berbanding pesaing utama.
“Kami bermula agak jauh ketika ujian pramusim, tapi terus meningkat setiap kali turun ke litar. Saya juga semakin serasi dengan motosikal ini. Kami tahu masih ada kekurangan di beberapa litar, namun arah yang kami ambil kini adalah betul,” katanya.
Bezzecchi sebelum ini turut menjuarai GP Britain pada Mei lalu, namun kejayaan di Portimao dianggap lebih manis kerana hadir atas merit selepas dua perlumbaan mengecewakan di Indonesia dan Australia.
Kemenangan itu juga mengukuhkan kedudukan Aprilia sebagai pasukan yang kini mampu memberi saingan sengit kepada Ducati menjelang musim 2026. – AGENSI














