TIDAK semua kejayaan bermula dengan keputusan cemerlang di sekolah. Itulah yang dibuktikan Azida Ahmad Azmi, 26, apabila dia berjaya melangkah masuk ke Universiti Oxford, United Kingdom menerusi tekad dan usaha berterusan.
Hakikatnya, anak tunggal itu bukanlah pelajar cemerlang ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana dia hanya meraih 3A.
Namun, kekurangan itu tidak pernah menghalangi impiannya untuk terus menimba ilmu hingga ke menara gading.
“Saya bukan pelajar straight A, namun saya orang pertama dalam keluarga yang berjaya sambung pelajaran ke universiti.
“Ibu tak dapat pergi sekolah sebab perlu bekerja, ayah pula hanya sampai tingkatan empat. Jadi, saya tak pernah terfikir akan belajar sampai ke luar negara,” katanya ketika di temu bual K-Kampus baru-baru ini.
Menariknya, perjalanan Azida ke Universiti Oxford iaitu antara institusi pendidikan paling berprestij di dunia itu seperti sudah tertulis sejak kecil.
“Buku pertama yang ibu belikan untuk saya ialah Kamus Oxford. Dari situ, saya suka baca dan tampal gambar Universiti Oxford dalam bilik. Gambar itu masih ada sampai sekarang, walaupun sudah lusuh,” ujarnya.
Gadis berasal dari Selayang, Selangor itu memaklumkan, dia membesar dengan melihat kesusahan ibunya yang bekerja keras membanting tulang di pasar borong demi menyara kehidupan.
Ketika itu, dia tidak menyangka akan menjejak kaki ke luar negara, sebaliknya hanya menyimpan berhasrat untuk meneruskan legasi keluarga menjual burger.
Namun, pengorbanan ibu menjadi sumber kekuatan untuk Azida terus maju hingga berjaya ke luar negara.
“Saya sangat bersyukur, namun pada masa sama sebak kerana saya mahu ibu rasa realiti yang digapai ini. Saya tahu dia banyak berkorban, jadi saya nak kejayaan ini jadi miliknya juga,” katanya.

Untuk makluman, perjalanan akademik Azida bermula di Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu tempat yang disifatkan sebagai titik perubahan terbesar dalam hidupnya.
Di situlah, dia yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Bahasa Inggeris untuk Komunikasi Antara Budaya) di Akademi Pengajian Bahasa mula membina keyakinan diri, erti kepimpinan dan berani keluar dari zon selesa.
“Pensyarah selalu bagi semangat dan kepercayaan kepada saya. Saya percaya kita kena keluar dari zon selesa kalau hendak ubah nasib,” katanya.
Berbekalkan semangat itu, Azida berjaya menamatkan pengajian dengan Anugerah Graduan Terbaik Peringkat Program, sekali gus menjadi batu loncatan untuk ke peringkat lebih tinggi.
Azida kemudian berjaya menempatkan diri di Columbia University, Amerika Syarikat bagi program peringkat sarjana jurusan Perundingan dan Penyelesaian Konflik (Negotiation and Conflict Resolution).
Kini, dia meneruskan pengajian di Universiti Oxford dalam bidang Sarjana Sains dalam Antropologi Sosial (Master of Science in Social Anthropology) di bawah tajaan Chevening.
Kejayaan di peringkat antarabangsa tidak membuatkan Azida lupa asal usulnya.
Jadi sejak setahun lalu, dia telah menubuhkan organisasi dikenali sebagai ‘Ezzy’s Consulting Service’ bagi membantu pelajar B40 dan M40 mencari peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Sejak tahun lalu, saya telah menjadi mentor kepada 600 pelajar daripada golongan B40 dan M40. Saya ajar mereka tentang cara untuk sambung belajar ke luar negara,” ujarnya.
Azida memaklumkan, dia cukup memahami bagaimana perasaan tiada panduan, dan perlu menebalkan muka melakukan semua perkara sendiri demi melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Bagi Azida, inisiatif itu bukan sekadar projek sosial, sebaliknya satu platform untuk membentuk keyakinan dan memberi semula kepada masyarakat.
Walaupun berjaya menjejak kaki ke universiti terbaik dunia, namun Azida berhasrat kembali ke Malaysia untuk menyumbang dalam bidang pendidikan serta kemiskinan.
“Saya harap dapat luaskan pengetahuan dan pengalaman di luar negara supaya dapat membantu pelajar-pelajar di Malaysia.
“Setiap pelajar yang menyambung pelajaran di luar negara perlu meneroka perkara lain dan bukan jadi pelajar sahaja. Pada saya, kejayaan bukan diukur dengan gelaran atau pangkat, tetapi sejauh mana seseorang mampu memberi manfaat kepada orang lain,” ujarnya.














