fbpx
KEJADIAN jenayah melibatkan pelajar di sebuah sekolah di Selangor baru-baru ini.

Tangani krisis moral baiki generasi rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBELAKANGAN ini, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan beberapa kes jenayah melibatkan pelajar sekolah yang menggambarkan realiti menyedihkan tentang krisis nilai moral dan kemanusiaan dalam kalangan generasi muda.

Antaranya ialah kes seorang pelajar tingkatan dua yang membunuh senior sekolahnya serta kes rogol beramai-ramai di Melaka dan Kedah.

Insiden-insiden ini bukan sahaja menggemparkan negara, malah menimbulkan persoalan besar mengenai keberkesanan sistem pendidikan dalam membentuk sahsiah dan moral pelajar di Malaysia.

Fenomena ini mencerminkan kemerosotan nilai empati, disiplin dan rasa hormat terhadap nyawa serta maruah manusia.

Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat mendidik dan membentuk insan berakhlak mulia, kini turut menjadi lokasi jenayah yang mengerikan.

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr. Syarifah Maisarah Syed Alwi, perubahan itu menunjukkan wujudnya krisis nilai dalam masyarakat, di mana batas antara baik dan buruk semakin kabur.

“Pelajar yang sepatutnya sedang dibentuk jiwanya untuk menjadi pemimpin masa depan kini terjebak dalam perbuatan kejam akibat kehilangan pedoman moral dan panduan rohani.

“Dari sudut psikososial, punca kepada jenayah pelajar ini boleh dikaitkan dengan tekanan sosial, emosi dan kekeliruan identiti,” katanya.

Menurut Syarifah, remaja kini berhadapan dengan desakan untuk diterima dalam kelompok sosial mereka, menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan budaya negatif dan tingkah laku berisiko.

“Selain faktor psikologi, pengaruh media sosial turut menjadi penyumbang besar kepada peningkatan jenayah di sekolah.

“Kandungan digital yang sarat dengan keganasan, pornografi dan budaya hedonisme mendorong remaja untuk menormalisasi perlakuan tidak bermoral,” ujarnya.

Lebih membimbangkan, ada yang merakam dan menyebarkan jenayah mereka di media sosial seolah-olah ia sesuatu yang membanggakan.

Fenomena ini menunjukkan betapa nilai empati semakin terhakis akibat pendedahan berlebihan terhadap dunia maya tanpa kawalan yang sewajarnya.

Kesan daripada jenayah ini amat mendalam dan berpanjangan. Mangsa jenayah seksual sering menanggung trauma, ketakutan serta stigma sosial yang menyukarkan mereka untuk meneruskan kehidupan.

Dalam kes pembunuhan, keluarga mangsa pula menanggung kesedihan melampau. Imej sekolah dan institusi pendidikan turut tercalar manakala masyarakat mula hilang kepercayaan terhadap keselamatan anak-anak di sekolah.

Ini jelas menunjukkan bahawa isu ini bukan sekadar masalah disiplin pelajar, tetapi krisis moral yang memerlukan pembetulan sistemik.

Bagi mengekang isu ini daripada berlarutan, pendidikan sahsiah perlu diperkukuh dalam sistem pendidikan negara.

Syarifah berkata, pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu akademik, tetapi membentuk akhlak dan nilai kemanusiaan.

“Kurikulum moral, agama dan sivik wajar diperluas dengan penekanan terhadap empati, tanggungjawab sosial dan kawalan emosi.

“Guru dan kaunselor perlu memainkan peranan aktif dalam mengenal pasti pelajar berisiko serta menyediakan bimbingan awal melalui program mentor-mentee dan kaunseling psikologi,” katanya.

Pada masa sama, kempen kesedaran undang-undang dan jenayah seksual wajar diperkenalkan di peringkat sekolah menengah agar pelajar memahami implikasi serius setiap perbuatan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN