NAMA pelakon Haneesya Hanee atau kini tuan punya badan ingin dikenali sebagai Sharifah Haneesya tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air.
Masakan tidak, meskipun sudah bertahun berlalu, namun ingatan khalayak masih lagi terpuruk dengan sejarah lama dan tetap mengaitkan nama Haneesya dengan kontroversi.
Tidak mati dek keji, Haneesya membulatkan hati untuk terus mencari peluang dan bangkit tanpa menoleh ke belakang.
Muncul dengan debut sulung naskhah layar perak karya arahan Nurhanisham Muhammad, filem Malam Terlarang menjadi taruhan baharu pelakon berusia 25 tahun itu.
Dalam teruja dengan buah tangan terbaharunya itu, Haneesya turut sempat bercerita tentang kenangan dan pandangan tentang dunia teknologi.
Mengimbau kenangan saat remaja, Haneesya memberitahu populariti telefon jenis Nokia 3310 yang mendunia sekitar era 2000-an menjadikan gajet itu kegilaan ramai.
“Waktu dulu telefon itu sangat popular dan ramai yang guna tanpa mengira usia. Saya pun tidak mahu ketinggalan dan turut sama memakainya.
“Siapa yang memiliki telefon itu boleh dikatakan ‘gempak’, jadi saya pun tidak mahu ketinggalan dan berasa bangga bila menggunakan telefon itu,” kongsi pemilik trofi Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-32 itu kepada K-Tekno.
Meskipun telefon tersebut memiliki fungsi terhad dan cukup sekadar untuk membuat panggilan serta menghantar kiriman mesej, namun ia tetap memiliki tarikan tersendiri.
Tetap segar dalam ingatan, melodi nada dering telefon tersebut yang menjadi ikonik sehingga ke hari ini membuatkan Nokia 3310 kekal dalam ingatan khalayak.
“Kalau bandingkan dulu dengan sekarang memang berbeza apabila sekarang kita ada bermacam fungsi telefon seperti kamera, mendengar lagu atau menonton filem.
“Tetapi telefon Nokia 3310 itu ada kemampuan tersendiri iaitu sifat tahan lasak yang boleh baling dinding pun tak pecah dan bateri tahan lama yang kadang-kadang boleh bertahan sampai berhari-hari.
“Mungkin sebab telefon itu kurang spesifikasi seperti telefon pintar sekarang tetapi telefon itu tetap menarik terutama nada dering ikonik yang tetap diingati sampai sekarang,” katanya.
Kongsi Haneesya, evolusi teknologi memudahkan kehidupan harian, namun terkadang boleh melalaikan sehingga terlupa untuk melakukan perkara lain.
Medium hiburan dan platform media sosial antara yang membuatkan pengguna leka dan tidak memberi ruang kepada diri sendiri melakukan aktiviti secara konvensional seperti membaca buku fizikal.
“Saya akui bukanlah seorang yang obses dengan teknologi apatah lagi terlalu mengejar apa yang baharu kerana sifat telefon memang sebegitu, pasti akan ada yang baharu setiap tahun.
“Selalunya telefon saya gunakan untuk kerja, sesekali kemas kini media sosial itu perkara biasa kerana saya selebriti.
“Tetapi, selalunya saya lebih gemar membaca buku dan gemar melakukan perkara melibatkan fizikal pada waktu lapang,” katanya.















