Gambar hiasan

Lombong emas utama dunia makin susut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Nadir bumi (REE) bakal menggantikan emas sebagai logam paling berharga dan strategik dunia dalam tempoh tiga dekad akan datang apabila bekalan emas semakin menyusut.

Biarpun nadir bumi bukan seperti emas yang boleh dijadikan barangan perhiasan, namun nilainya jauh lebih tinggi dari segi kegunaan industri dan teknologi moden yang menjadi tunjang kemajuan masa depan.

Remisier dan penganalisis pasaran modal dari Ncode Aca­demy Sdn. Bhd., Mohd. Al Adzha Johar berkata, dunia sedang beralih kepada era baharu apabila nadir bumi menjadi tumpuan utama industri berteknologi.

Katanya, nadir bumi menjadi rebutan kuasa besar dunia se­perti China dan Amerika Syarikat kerana unsur itu penting dalam penghasilan teknologi hijau, kenderaan elektrik, cip semikonduktor dan peralatan digital canggih.

“Tidak seperti emas yang le­bih digunakan sebagai simpanan nilai, nadir bumi memainkan pe­ranan penting dalam sektor pembuatan, menjadikannya komoditi strategik masa depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Bekas tapak lombong antara lokasi berpotensi diusahakan bagi pencarian sumber REE. – GAMBAR HIASAN

Menurutnya, harga emas glo­bal dijangka melonjak dalam tempoh tiga dekad akan datang apabila bekalan logam berharga itu semakin berkurangan akibat penurunan mendadak dalam hasil perlombongan di seluruh dunia.

Katanya, terdapat kajian bumi kini menghampiri fasa puncak emas iaitu ketika kadar penge­luaran mencapai tahap maksimum sebelum ia mula menurun.

“Kebanyakan lombong emas utama dunia telah mencapai tahap pengeluaran tertinggi, manakala penemuan baharu semakin sukar dan mahal.

“Keadaan ini dijangka mening­katkan harga emas secara dra­matik kerana permintaan global yang tinggi sama ada bagi tujuan pelaburan dan perhiasan,” katanya.

Katanya, ekoran itu juga pasaran emas dijangka beralih kepada emas kitar semula sebagai sumber utama yang mempunyai tahap ketulenan lebih rendah berbanding emas asli.

Katanya, proses pengitaran semula boleh menyebabkan penurunan kualiti, sekali gus menjejaskan nilai sebenar logam tersebut di pasaran.

“Walaupun harga emas dijangka melonjak tinggi sebelum sumber semula jadinya habis, nilai pasaran dijangka berkurangan apabila emas kitar semula mendominasi pasaran.

“Justeru pelabur perlu mengambil kira kitaran jangka panjang ini dalam strategi pelaburan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau ­berkata, industri berteknologi mempunyai alternatif kepada emas.

Disebabkan itu, beliau menjangkakan nadir bumi akan mengambil alih sebagai bahan ganti baharu dan logam paling berharga di dunia selepas ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN