SUNGAI PETANI – Rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat kini tidak lagi sedemikian buat penduduk Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini apabila bila-bila masa boleh runtuh akibat dihentam ombak kuat sejak Isnin lalu.
Rata-rata rumah di pesisir pantai tidak tidur lena kerana bimbang mengenai keselamatan diri dan kediaman masing-masing yang semakin terhakis dan dimasuki air masin.
Kerisauan mereka semakin ketara apabila ombak yang disertai angin kuat turut menghempas dinding serta melimpah masuk ke dalam rumah sehingga banyak perkakas rosak terkena air laut.
Fazidah Abdul Khalib, 59, berkata, sejak Isnin lalu, dia mula menyimpan dokumen penting dan membuat persediaan dengan mengemas pelbagai barangan rumah sebagai langkah awal.
“Saya letih membuat sendiri penghadang ombak menggunakan pasir, tetapi semuanya tidak berhasil apabila air laut masih memasuki rumah.
“Kekuatan angin yang luar biasa turut menyebabkan ombak semakin tinggi lalu menghentam dinding sebelum memasuki rumah hingga membuatkan kami sekeluarga tidak selamat,” katanya di sini semalam.
Rumah Fazidah antara yang paling teruk terkesan dengan hakisan apabila kawasan dinding dapur rumahnya kini hanya dua meter dari laut berbanding 300 meter sebelum ini.
Dia turut bimbang bahagian dapur rumahnya akan runtuh pada bila-bila masa terutama ketika ombak besar berlaku sejak dua hari ini.
“Dinding bata bahagian dapur rumah saya semakin terhakis dan hampir berlubang hingga menyebabkan keselamatan kami tiga beranak berisiko.
“Hendak berpindah saya tidak mempunyai rumah lain, tambahan pula hanya bergantung hidup melalui bantuan anak-anak selain sayang meninggalkan rumah pusaka yang didiami bersama arwah suami selama ini,” ujarnya.
Pada 17 September lalu Kosmo! melaporkan keresahan penduduk Kampung Huma di Tanjung Dawai mengenai ancaman hakisan sehingga menyebabkan dinding rumah terhakis akibat dibadai ombak.















