PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia memafaat dana dalaman sebanyak RM500 juta bagi menambah baik kemudahan penjaja dan perumahan rakyat.
Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM200 juta untuk membangun semula pusat penjaja, pasar serta medan selera yang usang.
Menurutnya, RM300 juta lagi bagi menyelenggara bangunan, sistem pendawaian dan kemudahan jalan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Saya sempat turun ke Pantai Dalam baru-baru ini meninjau keadaan perumahan rakyat yang sering mengalami masalah lif.
“Saya juga telah mengarahkan DBKL untuk segera memulakan kerja membaik pulih semua kerosakan lif rumah rakyat sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, kerajaan turut menyediakan RM60 juta untuk membina gerai dan membaiki pasar awam di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, Majlis Amarah Rakyat (Mara) akan menaik taraf 363 premis perniagaan Mara seluruh negara dengan peruntukan hampir RM50 juta. – KOSMO! ONLINE














