EPISOD demi episod kekejaman dan tidak berperikemanusian yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin selama hampir 70 tahun bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai konflik antara dua wilayah lagi.
Sebaliknya, Israel telah melanggar pelbagai undang-undang termasuk menyekat bantuan ke Gaza di perairan antarabangsa seperti yang berlaku pada misi Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla to Gaza.
Susulan itu, Profesor Madya, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow menegaskan, Israel perlu dihalau keluar dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan segera.
“Segala penindasan dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin selama lebih 70 tahun tidak boleh dibiarkan berlaku lagi oleh pihak PBB.
“Umum telah pun ketahui jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza susulan serangan. mengejut pada 7 Oktober 2023.
“Ramai rakyat Palestin di Semanjung Gaza yang menjadi mangsa terhadap jenayah yang dilakukan oleh Israel termasuk golongan kanak-kanak,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Oleh yang demikian, satu usaha bersepadu perlu diambil masyarakat antarabangsa bagi menghalau Israel dari PBB yang merupakan sebuah pertubuhan antarabangsa yang paling penting sekali pasca Perang Dunia Kedua (1939 – 1945).
“Buat sekian lama rakyat Palestin tidak pernah mengecapi kedamaian dan hidup dalam keadaan yang aman dan selamat.
“Semenjak penubuhan negara Israel pada 1948 dan rampasan tanah milik rakyat Palestin di Tebing Barat dan di Semenanjung Gaza oleh Israel, kehidupan rakyat Palestin menjadi semakin sukar dan penuh dengan penderitaan,” katanya.
Oleh itu, sudah sampai masanya satu tindakan tegas diusahakan dan dilancarkan oleh masyarakat antarabangsa bagi menghukum Israel kerana kegagalan mereka untuk hidup dalam masyarakat yang bertamadun serta berpandukan undang-undang antarabangsa yang mengutamakan hak asasi setiap manusia.
“Antara langkah paling drastik yang boleh dipertimbangkan ialah dengan menghalau Israel terus dari pertubuhan PBB itu sendiri.
“Usaha penyingkiran Israel dari PBB dapat memberi satu isyarat yang jelas kepada Israel supaya tidak meneruskan segala penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Ujarnya, Israel juga perlu diingatkan bahawa penubuhan negaranya sendiri pada tahun 1948 yang lalu banyak terhutang budi kepada PBB.
Katanya, Perkara 6 Piagam PBB 1945 menyatakan dengan jelas bahawa Ahli Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah berterusan melanggar Prinsip yang terkandung dalam piagam boleh dibuang daripada Pertubuhan Melalui Perhimpunan Agung atas syor Majlis Keselamatan.
“Bagi menjayakan, masyarakat antarabangsa perlu mengetepikan segala perbezaan kecil yang mereka ada dan bekerjasama serta bersatu.
“Dengan adanya usaha penyingkiran Israel dari PBB, seluruh negara dunia dapat memberi pengajaran kepada Israel serta memaksa mereka untuk mengubah perangai buruk mereka selama ini terhadap rakyat Palestin,” katanya.














