KERAJAAN terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan sukan tanah air apabila mengumumkan peruntukan RM580 juta buat warga sukan pada pembentangan Belanjawan 2026 Malaysia Madani di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memantapkan ekosistem sukan negara termasuk memperkasakan sukan berprestasi tinggi seperti program Road to Gold (RTG).
Peruntukan tersebut menyaksikan peningkatan lebih sekali ganda berbanding RM266 juta yang diperuntukkan bagi 2025 sebagai persiapan ke arah temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2027.
Peruntukan yang diumumkan itu turut memberi perhatian kepada pemerkasaan atlet para dan sukan orang pekak selain penyelenggaraan serta pembaikan kemudahan belia dan sukan seluruh negara.
Sementara itu, Anwar juga mengalungkan penghargaan kepada barisan atlet negara yang mencipta kejayaan pada saingan musim ini termasuk beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE














