TIADA siapa sangka, kucing peliharaannya yang selama ini hanya manja bergolek di ruang tamu rumah akhirnya berjaya melangkah ke sebuah pentas gemilang.
Bagi Nor Anis Halyatie, penyertaan dalam pertandingan Cat Fashion Week anjuran sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini hanyalah sekadar suka-suka, tanpa sebarang harapan besar.
Namun, segalanya berubah apabila si bulus kesayangannya yang diberi nama Evian diumumkan sebagai juara, sekali gus menewaskan puluhan kucing lain dari seluruh Malaysia.
Evian yang bergaya bak seorang bangsawan dengan mengenakan jubah baldu berwarna biru gelap, sesuai dengan karakternya yang tegas dan menepati masa, lebih-lebih lagi semasa waktu makan.
Ternyata, dia berjaya memukau penonton dan juga juri, lalu membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai bernilai RM5,000.
“Tak sangka langsung kami boleh menang. Pada awalnya, penyertaan kami adalah sekadar suka-suka, memandangkan ini merupakan kali pertama saya sertai pertandingan sebegini.
“Konsep royalty atau bangsawan sesuai dengan karakter Evian yang memang bak seorang raja.
“Hadiah kemenangannya belum saya fikirkan lagin, namun mungkin saya akan memberinya makan ayam rebus,” kata Nor Anis tentang kucing baka ragdoll miliknya itu.

Naib juara Cat Fashion Week pula menjadi milik seekor kucing gebu bernama Juny yang mempesona dengan sepasang gaun merah, manakala tempat ketiga jatuh kepada Chibbu yang menggayakan kostum era Mesir purba.
Anugerah Khas FELIX pula menjadi milik Goyem, kucing milik Siti Rohani yang sanggup datang dari Kedah untuk menyertai pertandingan pertamanya itu.
Goyem bergaya umpama seekor kucing dengan misi tersendiri, lengkap dengan topi koboi yang diperbuat daripada kain songket.
Cat Fashion Week merupakan program realiti sebuah stesen televisyen swasta yang buat julung kali menggabungkan kucing, fesyen, hiburan dan kecintaan terhadap si bulus di kaca televisyen.
Penganjuran itu juga bagi membuktikan bahawa si bulus turut mampu memikat lensa kamera serta menyentuh hati penonton melalui gaya dan pesona yang ditonjolkan. Cat Fashion Week dibawakan oleh jenama makanan kucing PURINA FELIX.
Pengurus Besar Kandungan TV3, Marlia Zul Amran berkongsi rasa teruja apabila melihat usaha luar biasa yang ditunjukkan para peserta.
“Semua konsep datang terus daripada peserta sendiri.
“Mereka sangat bersungguh-sungguh, bahkan persiapannya ibarat untuk Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Kami juga mengadakan sesi perbincangan bersama finalis bagi memperhalusi konsep persembahan supaya dapat memenuhi apa yang mereka inginkan,” katanya.
Tambah Marlia, program Cat Fashion Week merupakan satu program yang benar-benar segar, sesuai untuk tontonan umum dengan menampilkan kucing sebagai bintang utama.
“Kami berharap ia dapat memupuk rasa sayang terhadap haiwan sambil mewujudkan lebih banyak kenangan manis bersama kucing kesayangan,” katanya.













