fbpx
Peserta trip bersama salah seekor ikan yang berjaya dipancing.

Ekspedisi pancing di bumi Kalimantan Timur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sungai Wahau di Kalimantan Timur, Indonesia menjadi nadi kehidupan yang mengalir dari pergunungan dan membelah hutan hujan tropika. Ia juga syurga bagi pengilat spesies ikan sungai pergunungan terutamanya si raja sungai, kelah.

Dalam catatan lama, Sungai Wahau ini sering disebut sebagai nadi kehidupan bagi masya­rakat Dayak dan Punan yang tinggal di sepanjang tebingnya. Bagi masyarakat setempat, sungai ini bukan sekadar laluan air, ia adalah medan mencari rezeki, sumber air harian dan benteng tradisi.

Generasi demi generasi mereka telah bergantung kepada hasil sungai, termasuk ikan-ikan tempatan seperti baung, semah, sebarau, dan kelah yang menjadi sebahagian daripada diet makanan serta budaya ritual.

Ada cerita lisan mengatakan, dahulu kala, kelah dianggap ikan ‘berdarah bangsawan’, dan ia hanya dipersembahkan kepada ketua atau tetamu kehormat.

Ekspedisi healing

Ekspedisi memancing ke Sungai Wahau ini boleh dianggap sebagai kesinambungan kepada warisan terdahulu, walaupun kini ia lebih berbentuk rekreasi dan eksplorasi sukan.

Sungai berliku-liku dengan jeram-jeram yang berarus deras seakan mengingatkan kita bahawa ia telah sekian lama menjadi medan ujian bagi manusia, sama ada untuk bertahan hidup atau menundukkan sang raja sungai.

Perjalanan menggunakan bot kayu panjang menuju ke kem melalui jeram-jeram berarus seperti ini, sedikit kesilapan bakal mengundang padah.

Team Rentaka tidak terkecuali menjadikan Sungai Wahau ini sebagai lokasi ekspedisi meman­cing yang penuh cabaran, pada awal Ogos lalu.

Team ini yang diketuai oleh Jimoque dan Amzari berlepas dari Kuala Lumpur ke Balikpapan, Indonesia dengan penerbangan selama tiga jam, sebelum menempuh sekali lagi perjalanan sejauh 10 jam bercampur dengan dua jam lagi perjalanan off-road.

Dari hentian terakhir perjalanan darat itu bersambung pula dengan perjalanan menggunakan bot kayu panjang yang mengambil masa dua hingga tiga jam lagi untuk sampai ke kem pertama.
Itu hanya sekadar untuk melepaskan lelah dengan bermalam sebelum meneruskan misi sebenar ke hulu.

Misi Rentaka Move

Meneruskan perjalanan ke kem kedua merupakan permulaan pengembaraan yang penuh debaran. Sepanjang perjalanan, alam menjadi saksi kepada satu pertarungan epik, di mana Team Rentaka diuji oleh rentapan ganas ikan sapan, panggilan untuk kelah mengikut dialek masyarakat Punan.

Berbekal joran kembara pelbagai keratan, prototype Move, meman­cing di Sungai Wahau ini bukan sekadar trip yang biasa-biasa, sebaliknya ia juga menjadi ujian lapangan terbaik untuk menguji ketahanan joran terbaharu daripada Rentaka.

Setiap rentapan ikan adalah bukti kerakusan dan kekuatan luar biasa yang bersembunyi di bawah permukaan air di sungai pergunungan ini.

Mata kail menjadi lurus, split ring terbuka dan setiap kerosakan peralatan adalah pingat yang menceritakan betapa dahsyatnya pertarungan itu. Namun, di tengah-tengah ‘kehancuran’ tersebut, ada banyak kemenangan telah dicapai.

Jimoque bersama salah seekor kelah terbesar diperolehnya dengan menggunakan gewang.

Sejumlah 20 hingga 30 ekor ikan kelah dan semah panggilan tempatan untuk ikan tengas berjaya didaratkan pada hari pertama trip, pencapaian yang menandakan bakal menjadi satu misi gemilang.

Kembara hari kedua

Hari kedua, selepas solat subuh dan sarapan ringkas, sesi meman­cing kembali dihangatkan. Gewang Rapala Shad Rap Elite dan Madboy menjadi ‘peluru’ utama.

Menariknya, joran prototype Rentaka ‘Move’ yang digunakan turut dibekalkan dengan dua batang tip ekstra bagi memudahkan pertukaran spesifikasi mengikut kesesuaian lapangan.

Ikan jelawat Borneo merupakan salah satu daripada lima spesies ikan jelawat yang wujud di Asia Tenggara turut menghuni sungai ini.

Strike demi strike berlaku, dengan rekod terbesar ikan kelah seberat 23lb.

Ada kelah yang berjaya dinaikkan dibawa pulang ke tapak perkhemahan sebagai juadah dan ada yang dilepaskan semula.

Di hari terakhir, air sungai mula menjadi keruh akibat hujan yang berterusan di sebelah hulu, membuatkan segala perancangan dan aktiviti mengilat agak terganggu.

Tiba masanya untuk pulang dengan masa perjalanan seharian untuk sampai ke jeti.

Secara keseluruhan, dianggarkan 70-80 ekor kelah berjaya dinaikkan sepanjang trip ini.

Pengalaman mengharungi jeram-jeram deras Sungai Wahau, menerbitkan rasa kagum kepada ketabahan masyarakat tempatan yang saban hari bergelut dengan cabaran di sungai ini demi mencari rezeki.

Bagi Team Rentaka, ekspedisi ini bukan sekadar trip memancing, tetapi satu catatan mengenai perjuangan, kepuasan dan rasa syukur dapat menjejak kaki ke syurga sungai pergunungan di bumi Kalimantan yang penuh rahsia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN