fbpx
Air naik tinggi ketika kunjungan saya hingga ke tangga wakaf utama di base camp Sungai Kejar (kiri). Pek bersama ikan toman di hadapan tangga wakaf, perhatikan keadaan air yang tinggi di belakangnya. (kanan)

Suasana air tinggi di Sungai Kejar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Beberapa bulan lepas, saya berkesempatan mengunjungi Sungai Kejar bagi melepaskan dendam tahun lepas apabila tiada seekor ikan yang saya dapat pancing kerana hanya dapat memancing di kawasan berhampiran base camp. Ketika itu, saya tidak dapat trekking ke lubuk-lubuk pancingan di sekitar disebabkan sakit lutut.

Tahun ini, kami tiba dengan paras air yang luar biasa tinggi sehingga sampai ke anak tangga wakaf di basecamp Sungai Kejar.

Jadi, bot boleh sampai terus ke sana dan memudahkan proses memunggah barangan tanpa perlu trekking terlalu jauh ketika
air surut seperti trip saya yang dahulu.

Di sini, terdapat beberapa wakaf yang boleh didirikan khemah di bawahnya termasuk beberapa buah bilik chalet dan tandas.

Kami tiba kira-kira pukul 1.30 petang. Masing-masing mengambil tempat tinggal pilihan sendiri. Saya seperti biasa hanya berehat di wakaf dengan beberapa orang pemancing veteran yang lain.

Manakala geng-geng muda bergegas menyiapkan peralatan pancing. Mereka seterusnya menaiki bot bersama tekong menyusuri sungai bagi mencari lokasi yang sesuai untuk melabuhkan umpan.

Memancing pada air tinggi sangat beruntung kerana pemancing tidak perlu trekking menuju ke lubuk, tekong bot akan hantar terus se­­hingga ke tempat tersebut.

Pada pukul 5 petang, Pek yang memancing bersama isterinya di hadapan tangga wakaf di base camp dengan berumpankan anak ikan mendapat seekor toman.

Pada pukul 7.30 malam, kumpulan pemancing yang menaiki bot tadi pulang ke base camp, namun tiada seorang pun yang memperoleh hasil pada hari pertama itu.

Hari kedua

Keesokan harinya selepas sarapan, hanya tiga orang yang tinggal di base camp, manakala 11 orang lagi termasuk saya menaiki bot meng­hala ke atas sedikit dan kawasan sekitarnya. Tujuan kami adalah untuk memancing secara berkumpulan di beberapa lubuk yang dihuni oleh pelbagai spesies ikan terutamanya kelah dan tengas.

Sedang seronok memancing, tiba-tiba lalu sebuah bot Orang Asli dan parkir di kawasan jeram. Sangkaan kami, mungkin mereka hendak naik ke darat, tetapi sangkaan itu meleset sama sekali.

Sebaliknya, mereka ke situ semata-mata untuk mandi-manda, betul-betul di bawah jeram tempat kami memancing.

Melihatkan keadaan sedemikian, beberapa pemancing mula meninggalkan kawasan pancingan tersebut dan bergerak ke arah laluan balik menuju base camp untuk meman­cing di lokasi lain.

Saya masih di tempat yang sama kerana beranggapan ikan akan makan juga umpan, walaupun dalam keadaan bising. Namun sehingga pukul 2.30 petang, langsung umpan sawit peram saya tidak digetu.

Gangguan lagi

Izan dan anaknya yang telah berpindah lokasi kira-kira 100 meter di hadapan saya telah ‘dihadiahi’ seekor tengas.

Sedang leka saya menunggu, datang pula tiga geng lain mengilat gewang di kawasan umpan yang saya labuhkan.

Seketika kemudian, ada pula yang turut mandi dekat situ. Merasakan keharmonian tapak pancingan saya sudah hancur, saya terpaksa berpindah ke tempat lain iaitu berhampiran tempat Izan mendapat tengas tadi. Kebetulan, dia telah pun berpindah ke bawah lagi.

Lubuk ini redup dan ada tempat yang saya boleh berbaring, ini menjadikan mata layu semasa menunggu umpan diragut, akhirnya terlelap di situ. Selepas 20 minit, saya terkejut mendengar tetakan parang di atas batang kayu yang datangnya dari seberang sungai, rupa-rupanya sekumpulan Orang Asli sedang mencari kayu api.

Keharmonian lubuk tercalar lagi dan saya berpindah. Kebetulan ternampak tekong bot, saya sempat meminta dia menghantar ke seberang sungai yang kelihatan lubuknya berpotensi kerana Izan mendapat seekor kelah pula.

Dari pukul 5.30 petang hingga 7.00 malam, hasilnya kosong, hanya ikan-ikan kecil yang mencuri umpan saya sehingga togel di mata kail.

Saya berkemas dan menunggu tekong datang mengambil kami untuk pulang ke base camp. Ada juga beberapa orang yang ingin meneruskan pancingan di malam hari di situ.

Di dalam bot, saya perhatikan ada beberapa ekor ikan sebarau yang diperolehi dengan mengilat gewang sesudu dan selaman dalam. Ada beberapa ekor kelah hasil pancingan dasar oleh geng-geng kami yang lainnya.

Selepas mandi, kami disajikan dengan ikan bakar segar cicah air asam. Baki kumpulan yang masih tinggal memancing tadi pulang dengan hasil beberapa ekor baung.

Keesokan harinya, Izan dengan anaknya serta beberapa orang yang lain mencuba lagi mencari hasil terakhir untuk dibawa pulang. Saya dan yang lain-lain berkemas untuk pulang.
Pada pukul 1.00 petang, kumpulan yang pergi memancing tadi pulang dengan kehampaan. Kami terus bergerak pulang dan tiba di jeti Tasik Banding tiga jam selepas itu.

Adakah saya serik? Pasti tidak, dan pasti saya akan datang lagi ke sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN