fbpx
Jabatan Meteorologi mengesahkan gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dikesan di Segamat, disusuli gegaran ke­dua di Yong Peng kelmarin.

Gempa di Segamat, Kluang boleh berulang lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kejadian gegaran di Segamat dan Kluang kelmarin boleh berulang berikutan kerak benua di Semenanjung Malaysia masih menyimpan tegasan tektonik yang boleh dilepaskan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan berlakunya gempa.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor, Noorazhar Ngatimin berkata, semakan awal peta geologi menunjukkan pusat gempa Segamat, lokasi gegaran kelmarin terletak berhampiran lanjutan Zon Sesar Mersing yang berorientasi Barat-Barat Laut hingga Timur-Tenggara.

“Kejadian ini membuktikan fenomena pengaktifan semula sesar kuno yang melepaskan tenaga tektonik tersimpan di dalam kerak benua.

“Kedalaman gempa (kira-kira 10 kilometer) mengesahkan ia berpunca akibat pergerakan kerak benua, bukan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam,” katanya ketika dihubungi.

Noorazhar berkata, fenomena pengaktifan semula sesar kuno bukan perkara baharu di Semenanjung dengan rekod terdahulu di Bukit Tinggi, Pahang (2007-2010), Kenyir, Terengganu (1984), Kuala Pilah, Negeri Sembilan (1987) dan Manjung-Temenggor, Perak (1990-an).

Kelmarin, Jabatan Meteorologi mengesahkan gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dikesan di Segamat, disusuli gegaran ke­dua di Yong Peng.

Gegaran lemah turut dirasai di Mersing, Kluang, Batu Pahat dan kawasan sekitar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, walaupun risikonya rendah berbanding Sumatera, langkah proaktif diperlukan bagi melindungi keselamatan rakyat dan kestabilan ekonomi.

Antara langkah itu adalah me­lakukan pemantauan berterusan jaringan seismik, pemetaan semula sesar aktif kuno dan pembangunan sistem amaran awal bagi kesiapsiagaan awam dan infrastruktur kritikal.

“Berdasarkan rekod penyelidikan, Johor pernah mengalami dua gempa daratan pada 31 Januari 1922 (magnitud 5.4) dan 7 Februari (magnitud 5.0) yang menyebabkan kerosakan di Muar.

“Peristiwa ini jarang berlaku kerana Semenanjung terletak atas Sunda Plate iaitu zon tektonik yang stabil,” katanya.

Tambahnya, Johor pernah merasai gegaran kecil pada 2021 dan 2023, namun pusat gempa ketika itu terletak di perairan luar pesisir berhampiran Suma­tera.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia, Ts. Dr. Mohd. Zamri Ramli berkata, gempa bumi di Johor mungkin akan berlaku kira-kira 25 atau 50 tahun akan datang.

“Secara relatifnya, Malaysia berada di atas Plat Sunda yang stabil, bukan di jalur Lingkaran Api Pasific. Ini rujukan terdahulu.

“Kini kita berada dalam lingkaran itu. Ini kerana Malaysia menerima pengaruh tekanan yang kerap dan sangat aktif dari pergerakan tektonik serantau seperti dari Indonesia dan Filipina,” katanya.

Jelasnya, hasil kajian pakar seismologi, kejadian gempa di mana-mana titik sesar akan berlaku secara berulang dengan mungkin sela beberapa tahun.

“Misalnya di Ranau, Sabah dikatakan akan berlaku gempa dengan magnitud besar sehingga 6 skala Richter dalam sela 25 tahun. Di Lahad Datu dalam sela 50 tahun akan berlaku gempa besar.

“Sesar yang dikatakan tidak aktif ini mungkin pernah menga­lami gempa bumi satu ketika dahulu dengan sela yang tidak diketahui dan mungkin puluhan atau ratusan tahun dan mungkin kini adalah putaran selanya,” kata beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN