Sungai ini mengandungi pelbagai jenis ikan, dan yang selalu diburu pemancing adalah siakap putih. Menurut Hafiz, memancing ikan ini lebih sesuai ketika air surut yang arusnya bergerak perlahan.
Jadi, kami memilih waktu air surut yang sesuai untuk ke sungai ini, dan cuti hari minggu lalu dimanfaatkan sepenuhnya.
Ketika kami sampai ke lokasi, paras surut air pada tahap terbaik dengan arusnya bergerak perlahan. Masing-masing menyiapkan kelengkapan memancing, lalu bergegas menghampiri tebing untuk melabuhkan umpan masing-masing.
Diserang bulan
Saya menggunakan umpan udang mati, manakala Hafiz pula menggunakan soft plastic dengan teknik Carolina rigging. Saya tidak menunggu lama, umpan yang dikarau perlahan terus disambar ikan dan cara makannya seperti ikan bulan.
Saya terus membuka bail arm kekili bagi meringankan bebanan sewaktu ikan mengambil umpan, setelah yakin ikan telah menelan umpan, bail arm ditutup dan joran terus disembat.
Ikan terus melakukan lompatan akrobatik, jelas ia merupakan seekor ikan bulan bersaiz kasar. Hujung joran terus dihalakan ke bawah bagi meminimumkan lompatan ikan supaya mata kail tidak mudah tercabut.
Selepas itu, seekor demi seekor ikan bulan berjaya saya naikkan membuatkan Hafiz terus menukar daripada soft plastic kepada umpan udang mati.
Siakap putih
Rezeki saya pagi itu cukup baik apabila umpan udang mati yang dikarau perlahan tiba-tiba disedut ikan siakap putih. Ikan tidak melompat, sebaliknya ia hanya membenam sahaja.
Ia mudah ditewaskan kerana saiznya tidak sampai sekilogram.
Selepas itu, saya kena seekor lagi, namun perlawanan singkat sahaja kerana ikan yang dipercayai siakap putih itu berjaya memutuskan tali perambut saya berkekuatan 30 paun. Kami menamatkan trip kerana air sungai juga sudah surut habis.

Pelbagai spesies ikan
Beberapa hari kemudian, kami berkunjung lagi ke sini dan mencubanya ketika air pasang pula. Kali ini, kami diberi peluang memancing dari atas sangkar ternakan tiram.
Kami masih menggunakan udang mati sebagai umpan.
Kelebihan memancing dari sangkar tiram ini membolehkan kami menghulur umpan ke mana sahaja yang dimahukan terutamanya di celah-celah sangkar.
Memandangkan ada permintaan daripada ibu Bob yang mengidam makan ikan-ikan kecil seperti gelama, bebulus, kapas, kerong dan gerut-gerut, kami terus bersepakat memancingnya. Target ikan siakap putih dilupakan seketika kerana kebetulan air sedang pasang besar dan tidak berproduktif untuknya.
Bagi menjimatkan umpan, kami memotong udang mati kepada tiga bahagian. Ikan-ikan kecil naik silih berganti. Dalam asyik kami melayan kerenah ikan kecil-kecil ini, salah satu joran milik Bob di-
tarik rakus.
Mujurlah ia tidak menjunam ke dalam sungai, rupa-rupanya ia adalah seekor ikan gelama bokok.
Kami meneruskan lagi misi mencari seberapa banyak ikan bersaiz kecil. Tiba-tiba, joran saya pula dirembat. Ikan yang terkena sentapan itu melakukan lompatan, ia rupanya seekor ikan senangin.
Saya masih sempat lagi mengawal kegilaan ikan ini sehinggalah ia berjaya dinaikkan.
Memandangkan ada ikan senangin, umpan udang mati bertukar kepada mikro jig pula kerana diketahui ikan ini kuat meligan jig. Malangnya, usaha kami itu tidak membuahkan hasil sehinggalah trip berakhir.
Mungkin ikan senangin ini hadir tidak banyak, bukan dalam kumpulan yang besar, di lain hari kami boleh cuba lagi.















