GEORGE TOWN – Biarpun sedang menjalani pemulihan selepas pembedahan kanser usus, seorang tukang jahit, Mahani Udit, 36, tetap cekal menyiapkan pelbagai fesyen baju kanak-kanak sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Ibu kepada empat anak itu berkata, minat mendalam dalam bidang jahitan dan amanah pelanggan menjadi kekuatan untuk terus berkarya walaupun terpaksa bekerja dari rumah.
Mahani berkata, dia menjalani pembedahan pada bulan Jun lalu dan mengakui kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya, namun dia enggan menjadikan sakit sebagai alasan untuk berhenti menjahit.
Katanya, sejak awal tahun lalu, dia sudah mula merasai perubahan pada tahap kesihatannya, namun dia tetap menguruskan kedai di Kompleks Bukit Jambul sehingga akhirnya terpaksa menutup operasi pada 17 Julai kerana masalah kesihatan dan kewangan.
“Kini, rumah saya menjadi bengkel kecil dengan lebih 10,000 pasang baju kanak-kanak disiapkan secara berperingkat bersama bantuan tukang jahit yang bekerja dari rumah.
“Saya potong kain di rumah, kemudian upah tukang jahit luar untuk siapkan. Memang permintaan tinggi, terutama untuk koleksi merdeka,” katanya di sini semalam.
Mahani berkata, pelanggan setia menjadi sumber kekuatan yang tidak ternilai malah ramai yang tetap menunggu dan hanya mahu membeli hasil rekaannya kerana kelainan jahitan dan kualiti yang ditawarkan.
“Saya beritahu pelanggan, tukang jahit lain pun boleh buat, tapi mereka tetap cari saya. Itu yang buat saya rasa dihargai.
“Keadaan kesihatan semakin baik, saya masih bergantung kepada ubat-ubatan dan perlu mengawal pergerakan supaya tidak terlalu lasak,” katanya.
Jelasnya lagi, dia telah menyewa kedai baharu di Kompleks Bukit Jambul dan sedang menunggu kerja-kerja pengubahsuaian sebelum dibuka dalam masa terdekat.
“Saya akan kembali menjahit di kedai baharu ini, mungkin dalam bulan ini juga saya akan buka sepenuhnya kedai kerana ramai pelanggan setia,” ujarnya.















