‘Kaki report’ di sekolah atau asrama merujuk kepada seseorang yang suka melaporkan kejadian buli atau kesalahan displin pelajar lain kepada pihak sekolah atau guru.
‘Jibam’ juga menjadi gelaran kepada pelapor kaki buli. Gelaran ‘jibam’ popular dalam sebuah drama bersiri Projek: High Council yang memaparkan kisah gengsterisme dan budaya buli dalam sebuah sekolah berasrama penuh.
Dua gelaran ini sering dipandang negatif oleh segelintir pelajar kerana kononnya mahu menjatuhkan mereka.
Dalam kebimbangan masyarakat terhadap budaya buli yang masih berlaku di institusi pendidikan, kita perlu melahirkan lebih ramai ‘kaki report’ dan ‘jibam’ di sekolah dan asrama.
Peranan mereka sangat penting supaya pembuli-pembuli tidak terus bebas melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan kepada pelajar lain yang lemah.
‘Kaki report’ dan ‘jibam’ boleh menjadi mata dan telinga kepada pihak sekolah dan juga pihak berkuasa. Mereka merupakan ‘orang dalam’ yang boleh segera melaporkan salah laku pelajar lain.
Laporan awal kes buli boleh mengelakkan perkara kecil menjadi besar, yang hidup akan terus bernyawa dan tiada siapa akan menjadi mangsa.
Peranan mereka juga dapat meningkatkan keselamatan semua pelajar serta mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih baik dan harmoni.
‘Kaki report’ dan ‘jibam’ perlu dilindungi pihak sekolah, identiti mereka tidak boleh didedahkan.
Pelapor kes buli tidak perlu takut menjadi ‘kaki report’ atau ‘jibam’. Tindakan mengunci mulut dan ketakutan hanya akan menyuburkan lagi budaya buli.
Satu sistem khas perlu diwujudkan supaya sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan terus kepada pihak sekolah sebelum siasatan mendalam dilakukan.
Pengetua, guru besar, pengarah, cikgu atau warden pula jangan sesekali cuba menyembunyikan kes buli, sebaliknya melaporkan kepada pihak polis.
Budaya ini perlu segera ‘dikuburkan’ kerana kita tidak mahu ada lagi pelajar yang menjadi mangsa sehingga mereka tertekan, kemurungan, hilang keyakinan diri dan trauma.
Malah ada kes yang melibatkan kecederaan parah akibat ditendang serta dipukul dan paling menyedihkan berakhir dengan kematian tragis.
Masa depan si pembuli pula hancur apabila mereka dikenakan tindakan undang-undang dan dijatuhi hukuman. Disebabkan itu, cegah sebelum parah adalah lebih baik.
















