BARU-BARU ini penulis terbaca satu kisah di thread berkenaan seorang wanita dalam keadaan lemah akibat diserang strok ‘dikurung’ di sebuah rumah kebajikan oleh suaminya hanya kerana dia tidak bersetuju untuk dimadukan.
Wanita itu didakwa dimasukkan ke pusat jagaan sejak 2015 tanpa dimaklumkan keadaannya kepada ahli keluarga termasuk anak-anak, malah dikatakan apabila ada yang menelefon bertanya, pihak pengurusan memberitahu tidak ada penama seperti dinyatakan.
Kisah keluarga itu kian mendapat perhatian ramai apabila menantu kepada wanita itu menyemak akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ibu mentuanya dan mendapati ia telah habis dikeluarkan.
Bagaimanapun, pada minggu lalu, selepas pelbagai emosi negatif dan simpati dihamburkan oleh warganet, tiba-tiba laut yang bergelora menjadi tenang dan kosong apabila si menantu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bapa mentuanya menerusi menerusi rakaman video di Instagram.
Dia menyenaraikan kesemua permohonan maaf itu daripada abjad A sehingga M berkaitan tuduhan terhadap lelaki berkenaan.
Namun, dua hari lalu satu hantaran lain pula dimuat naik pula, luahan tentang dunia milik si kaya licik, sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada netizen yang mengikuti kisah ini.
Apa yang berlaku sebenarnya kepada wanita tersebut? Di manakah dia? Adakah semua ini berlaku hanya kerana isu poligami?
Terdetik di hati penulis ingin mengingatkan semula kepada semua insan yang akan atau sudah berumah tangga mengenai persetujuan berpoligami ini.
Menurut pengamal undang-undang syarie, Saidah Zakaria, apabila seseorang suami itu mahu membuat permohonan berpoligami di mahkamah, dia tidak memerlukan persetujuan si isteri.
“Ini bermakna situasi sehingga perlu memaksa si isteri untuk menandatangani kertas tidak seharusnya berlaku.
“Notis permohonan selepas kes difailkan itu sahaja yang perlu diserahkan kepada isteri pertama. Kalau isteri pertama tidak tanda tangan atau tidak hadir ke mahkamah sekali pun, kes permohonan tetap boleh berjalan,” ujarnya.
Katanya, dakwaan suami mendera isteri disebabkan wanita terbabit enggan berpoligami adalah alasan dangkal, malah boleh mencetuskan spekulasi lain berkaitan kepentingan peribadi si polan.
“Melakukan kekerasan dalam rumah tangga, mendera secara fizikal atau emosi si isteri dengan alasan enggan bersetuju untuk dimadukan adalah alasan yang sangat tidak logik.
“Kalau si suami ingin ceraikan isteri itu kerana dia mahu berkahwin lain pun boleh, tetapi kenapa tidak mahu melepaskan dia?
“Jadi di sini, akan timbul pelbagai andaian termasuklah adakah si suami ini mempunyai kepentingan lain yang dia mahukan daripada si isteri,” ujarnya.














