Warga pelajar memainkan peranan penting dalam sesebuah universiti. - Janaan AI

Universiti jadi terkemuka atas usaha warganya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM mendepani masa depan yang penuh ketidaktentuan dan gangguan (disruption), institusi universiti kini berada di persimpangan. Konsep gerbang ilmu atau menara gading sudah tidak sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran peringkat tinggi kerana mudah diakses secara dalam talian dengan yuran mungkin lebih murah.

Monopoli bidang ilmu dan pengetahuan terkini tidak lagi menjadi hak mutlak universiti.

Maka anjakan perspektif yang berani dan radikal perlu berlaku bagi memaksa institusi pengajian tinggi seperti kolej dan universiti membuat ‘pelaburan’ seraya meraikan warganya sebagai aset paling utama.

Hakikatnya, membuat pelaburan ke atas warga universiti bukan sesuatu yang aneh. Majoriti universiti terkemuka di dunia sudah lama sedar akan hakikat ini. Sudah banyak yang dilaburkan demi membangun serta meraikan aset dan modal insan di kampus mereka.

Warga pendidik

Di universiti bertaraf dunia, warga pendidik dengan kecemerlangan akademik yang benar-benar bermutu serta diperakukan di dalam dan luar kampus diberi penghargaan serta ruang untuk terus membudayakan ilmu pengetahuan secara bebas.

Warga pendidik, tidak kira pensyarah, profesor atau dekan yang aktif, berwawasan lagi bersemangat bukan sekadar mampu merangsang fikiran siswa.

Mereka menjadi ahli sarjana awam (public academic) yang berkongsi buah fikiran dan sering turun padang untuk berbakti kepada komuniti dengan pelbagai cara serta ragam.

Alangkah rugi apabila sesebuah universiti tidak mahu tahu atau tidak tahu cara untuk membantu usaha-usaha murni ahli sarjana awam merangkap warga pendidik di kampusnya.

Alasan yang sering diberikan, pendidik seperti ini gemar bergerak sendiri dan tidak perlu dibantu. Tanggapan ini tidak tepat kerana penghargaan dan bantuan akan memastikan mereka kekal gigih berusaha, bekerja tanpa lelah demi membudayakan ilmu serta memandaikan masyarakat.

Warga pelajar

Tanpa pelajar, tidak akan wujud universiti. Warga pelajar hari ini sebenarnya perlu begitu banyak ruang dan peluang untuk berfikir, berusaha dan mengaplikasikan ilmu yang mereka pelajari di kampus.

Lebih merisaukan kita, ahli profesional dan golongan pekerja masa depan perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran yang masih belum muncul pada saat ini.

Maka, siswa dan siswi di serata kampus perlu diberikan ruang serta peluang untuk mencari dan mengaplikasi ilmu serta kemahiran di dunia nyata.

Misalnya, inisiatif SULAM KPT perlu diperluas agar pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah boleh ‘disulam’ dengan khidmat komuniti yang bersasar.

Yakinlah, insan sejahtera akan terbentuk dan terhasil dari kampus ke komuniti, masyarakat, negara dan ke persada global.

Namun, pembentukan insan sejahtera memerlukan keseimbangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan spiritual. Adakah semua warga pelajar diberi peluang dan ruang yang sama untuk ini?

Warga pentadbir

Kita sering terlupa kepentingan kumpulan terakhir ini walaupun warga pentadbir menjadi daya penggerak kampus.

Dari pegawai terkanan sehingga ke pembantu am, mereka memainkan peranan begitu besar ke arah menjadikan sesebuah universiti terkemuka.

Kecemerlangan warga pentadbir menguruskan segala proses pejabat, penyelenggaraan dan operasi harian universiti membolehkan warga pendidik serta pelajar menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Oleh itu, peluang dan ruang perlu diberikan kepada warga pentadbir untuk memajukan diri serta karier.

Peluang melanjutkan pengajian di kampus tanpa perlu mengambil cuti belajar, akan memberi dorongan kepada para pentadbir untuk kembali ke kuliah.

Latihan kemahiran teknologi baharu muncul mampu meningkatkan kecekapan proses kerja mereka dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).

Warga pentadbir tidak boleh berdiri di belakang tabir, mereka kini perlu berdiri sama tinggi dengan warga pensyarah dan pelajar universiti.

Kesimpulannya, sesebuah universiti hanya akan mampu menjadi terkemuka jika membuat pelaburan ke atas warga pendidik, pelajar dan pentadbirnya.

Tidak kira wang ringgit, masa, peluang belajar, bercuti atau apa sahaja yang sesuai, usaha ini dapat mendorong warga universiti itu untuk terbang ke langit tinggi.

Walaupun tidak mudah, usaha membuat pelaburan ke atas warga universiti harus bermula semalam.

Kampus yang besar, luas lagi gah, bukan lagi kayu ukur kejayaan dan kecemerlangan sesebuah universiti. Kenapa? Sebab, universiti menjadi terkemuka kerana usaha warganya.

PENULIS merupakan Pensyarah Kanan UiTM Shah Alam dan Pemimpin Berwibawa (Thought Leader) HRDCorp di Pusat Sumber Manusia Negara (NHRC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN