fbpx
Beberapa tarikan menarik yang terdapat di FunFun @ i-City, Shah Alam, Selangor.

Main pasir pink, dekati haiwan eksotik di i-City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASTI ramai mendambakan lokasi rekreasi yang membolehkan si kecil bebas bermain air, memijak pasir halus dan membelai haiwan jinak.

Semua aktiviti tersebut bukan sekadar menyeronokkan, malah mampu memberi rangsangan deria yang penting untuk perkembangan awal kanak-kanak.

Bagi ibu bapa yang ingin anak-anak merasai pengalaman pembelajaran melalui permainan, FunFun @ i-City, Shah Alam, Selangor merupakan pilihan ideal.

Menurut Pengurus Rekreasi i-City, Lim Weng Shin, FunFun merupakan destinasi ideal untuk seisi keluarga terutamanya kanak-kanak serta pencinta haiwan.

“Pembelajaran paling bermakna berlaku apabila kanak-kanak bermain dengan bebas dan menggunakan
kelima-lima deria mereka.

“Di FunFun, setiap sentuhan dan lompatan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang menyeronokkan.

“FunFun merupakan ruang ideal untuk pembelajaran holistik sambil berseronok,” katanya kepada CitaRasa.

Antara tarikan menarik yang disediakan adalah Mini Zoo, Magical Castle & Rainbow Trampoline, Zon Aquatic Play dan Zon Pink Sand Play Area.

Di Mini Zoo, pengunjung boleh mendekati, memberi makan dan berinteraksi dengan haiwan jinak seperti arnab, kambing, ayam, itik, hamster serta burung.

Kucing baka Ragdoll menjadi sebahagian tarikan di FunFun.

Selain itu, pengunjung berpeluang merakam swafoto dengan haiwan alpaka yang terkenal dengan sifat mesra dan manja.

Ruang khas juga disediakan untuk pencinta si bulus meluangkan masa bersama kucing-kucing baka Ragdoll dan Munchkin.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai haiwan eksotik seperti capybara, ferret, rakun dan meerkat yang jarang ditemui di Malaysia.

Ujar Weng Shin, beberapa peraturan perlu dipatuhi pengunjung sebelum memasuki kawasan FunFun bagi menjaga keselesaan semua.

“Kanak-kanak yang mempunyai alahan teruk terhadap haiwan atau jerami tidak dibenarkan masuk demi keselamatan serta kesejahteraan mereka.

“Makanan dari luar juga tidak dibenarkan dibawa masuk. Merokok dan penggunaan rokok elektronik juga dilarang sama sekali.

“Bagi kanak-kanak, mereka perlu ditemani oleh orang dewasa berumur 17 tahun ke atas yang turut membeli tiket masuk,” katanya.

Sementara itu, Zon Aquatic Play memberikan ruang kepada kanak-kanak untuk bermain pam air dan melakukan aktiviti ‘catch-a-fish play’.

Bagi kanak-kanak yang gemar aktiviti lasak, mereka boleh memanjat, meluncur dan meneroka struktur seperti istana mini di Rainbow Trampoline.

Magical Castle pula direka sebagai kawasan permainan yang dilengkapi gelongsor, bingkai panjat dan ruang tersembunyi.

Di Zon Pink Sand Play Area, si kecil boleh menimbus pasir pink, menggali dan mencurahkan kreativiti seolah-olah berada di pantai sebenar.

Waktu operasi FunFun adalah pada hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 5.30 petang hingga 12 tengah malam. Pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum pula, FunFun dibuka setengah jam lebih awal.

Tambah Weng Shin, tiket masuk ke FunFun hanya boleh dibeli melalui aplikasi i-City SuperApp, dan kod QR akan diimbas di pintu masuk sebagai bukti pembelian.

“Pengunjung akan menerima gelang masuk yang membolehkan mereka keluar masuk tanpa had sepanjang hari,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN