DREAM Recorder digambarkan boleh diletakkan di atas meja sisi katil.

Dengan AI, tonton semula mimpi bukan lagi fantasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGINGATI semula mimpi secara terperinci setelah terjaga daripada tidur bukan satu hal mudah kerana peralihan fungsi otak dan struktur memori.

Perkara itu mungkin akan menjadi mudah sekiranya mimpi tersebut dapat dirakam dan ditonton semula berulang kali, tanpa ada satu fakta pun yang tertinggal.

Dengan gabungan dunia sains dan teknologi, hal itu bukan lagi fiksyen kerana sebuah syarikat di Belanda iaitu Modem selain saintis Jepun dan Jerman berusaha membangunkan sistem perakam mimpi yang dikuasakan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Alat tersebut akan memproses dan merekonstruksi visual mimpi secara automatik sebaik sahaja pengguna bangun dari tidur menyerupai sistem ulang semula yang menggabungkan animasi kabur dan bentuk asas visual berdasarkan data dirakam.

Menurut jurucakap Modem, alat yang dipanggil Dream Recorder itu tidak seharusnya dianggap sama seperti gajet teknologi lain, sebaliknya ia juga berfungsi sebagai salah satu alat terapi menenangkan minda.

“Kami tidak mahu Dream Recorder kelihatan seperti alat perubatan klinikal atau gajet teknologi biasa yang dianggap fungsinya sama seperti peranti pintar misalnya jam digital, telefon atau televisyen.

“Sebaliknya ini adalah salah satu objek ‘ritual’ yang pengguna akan letakkan di sisi katil sebagai sebahagian daripada rutin malam seperti menyalakan lilin terapi,” ujarnya memetik laporan core77.

Meskipun alat yang dibangunkan oleh Jules Mas itu masih belum diwujudkan secara nyata, namun pihak Modem optimis dan mengharapkan peranti tersebut akan tersedia di pasaran dalam tempoh masa terdekat.

“Visual dan visi alat ini sudah dikeluarkan di laman web yang membuktikan bahawa kami tidak ‘bermimpi’ membangunkan alat ini.

“Terdapat beberapa fasa yang masih perlu diambil kira dan diberi perhatian.

“Kami yakin alat ini bukan saja dapat mengubah kehidupan masyarakat, tetapi beri impak positif kepada kesihatan mental,” katanya.

Kongsi Modem, peranti Dream Recorder tersebut boleh dilabel sebagai ‘portal minda luar sedar’ dan digelar ‘peranti tepi katil anda’.

Peranti Dream Recorder yang dicipta Modem tersebut berfungsi secara AI.

Bangun sahaja daripada tidur, pengguna boleh terus menekan butang padanya dan menceritakan kepada peranti tersebut dalam apa jua bahasa tentang mimpinya pada malam itu.

Model AI kemudian akan menjana reel video yang ditayangkan pada skrinnya dalam bentuk imej grainy dan impressionistic bersesuaian dengan gaya mimpi yang mistik.

Modem berkata, peranti tersebut tidak memerlukan sebarang perisian atau aplikasi.

“Ia boleh menyimpan tujuh mimpi dalam seminggu,” katanya.

Berbentuk seperti telefon bimbit atau paparan berskrin ergonomik, Dream Recorder digambarkan sebagai sebuah peranti yang boleh diletakkan secara berdiri di atas meja sisi katil semasa tidur.

Dapatan mengenai perincian produk Dream Recorder bagaimanapun belum banyak ditemukan di internet kerana ia masih belum dilancarkan.

Sebelum ini juga terdapat pihak-pihak lain yang mengusahakan rakaman mimpi.

Pada tahun lalu, Times of India melaporkan saintis Jepun sedang membangunkan peranti rakaman mimpi yang disambungkan terus ke otak.

Ia berfungsi dengan menggabungkan teknologi pengimejan otak secara fMRI (Functional Magnetic Resonance Imaging) atau EEG (electroencephalogram) dan AI untuk merekod serta menafsir mimpi yang berlaku semasa tidur.

Ketika pengguna berada dalam fasa tidur REM (Rapid Eye Movement), alat ini akan mengesan corak aktiviti otak (seperti isyarat elektrik atau aliran darah dalam otak).

“Data diterima kemudian dihantar kepada sistem AI yang telah dilatih untuk mengenali imej visual berdasarkan isyarat otak.

“AI kemudian merekonstruksi gambaran kasar mimpi dalam bentuk visual seperti video pendek atau animasi kabur, berdasarkan padanan data dengan imej dalam pangkalan data AI,” kata artikel itu.

Peranti tersebut juga digambarkan bersifat ergonomik.

Peranti tersebut berbentuk topi lembut atau headset ergonomik yang direka untuk dipakai sepanjang malam dan disambungkan ke sistem AI luar talian yang berfungsi secara automatik sebaik sahaja tidur dan mencapai fasa REM.

Bagaimanapun, visual yang dihasilkan tidak sepenuhnya tepat, tetapi cukup untuk menunjukkan elemen utama seperti objek, tempat atau emosi.

Pakar neurosains dari Universiti Kyoto, Jepun, Profesor Yukiyasu Kamitani bersama pasukannya terdahulu melakukan kajian terhadap pembangunan sistem yang mampu merakam semula mimpi.

Sejak sedekad lalu, beliau telah mencipta sejarah dalam kajian mimpi dengan mencipta sistem yang boleh memetakan mimpi berdasarkan aktiviti otak.

Dalam satu kajian yang diterbitkan sekitar 2013, Kamitani dan pasukannya menggunakan fMRI bersama algoritma pembelajaran mesin untuk meneka kandungan visual dalam mimpi subjek yang sedang tidur.

Hasilnya, AI berjaya mengenal pasti kategori imej seperti haiwan, teks dan pemandangan dengan kadar ketepatan sekitar 60 peratus.

Menurut Kamitani, pendekatan yang digunakan adalah dengan melatih algoritma pada subjek ketika melihat imej semasa terjaga, kemudian menggunakan corak dikenal pasti sebagai rujukan ketika subjek tidur.

“Teknologi rakaman mimpi berfungsi dengan merakam aktiviti otak semasa fasa tidur REM, di mana mimpi paling aktif berlaku.

“Imbasan otak menggunakan fMRI akan menangkap corak aktiviti neurologi, manakala AI yang dilatih dengan data visual akan cuba menafsir isyarat tersebut kepada imej atau video berdasarkan padanan corak gelombang otak dengan objek dan pemandangan yang dikenal pasti sebelumnya,” jelasnya.

Ahli terapi juga kini berpeluang melihat terus kandungan mimpi yang selama ini hanya dapat diterangkan oleh pesakit secara lisan. Ini dapat memperdalam pemahaman terhadap emosi dan pengalaman tidak sedar yang mempengaruhi kesihatan mental.

Menyambut baik usaha membangunkan alat mimpi itu, ahli terapi klinikal dan penyelidik terkemuka dalam bidang neurosains emosi dan mimpi terapeutik Perancis, Dr. Elodie Marchand berkata, teknologi yang digunakan berpotensi memahami dan merawat kesihatan mental.

Beliau turut menegaskan mimpi mempunyai hubung kait dengan otak dan kesedaran manusia saat berada di bawah separuh sedar.

“Memiliki keupayaan untuk memerhati dan menyahkod mimpi memberikan peluang luar biasa untuk memahami minda tidak sedar dan sesuatu yang berpotensi merevolusikan terapi dan penjagaan kesihatan mental sekali gus boleh memberi kesan positif dalam menangani trauma, PTSD (gangguan tekanan pascatrauma, dan kebimbangan),” katanya.

Biarpun mengakui alat tersebut dianggap sebagai satu inovasi luar biasa, dari sudut lain beliau mempertikaikan aspek keselamatan dan privasi rakaman mimpi.

Marchand menganggap mimpi adalah ruang paling peribadi dan tidak dikawal dalam kesedaran manusia, justeru mengharapkan sistem penyimpanan data sukar digodam oleh pihak ketiga.

“Merakam mimpi memang satu perkara yang menarik kerana dianggap misteri dan bagus untuk membantu seseorang memahami emosi mereka.

“Tetapi bagaimana kita ingin tahu rakaman mimpi itu akan selamat dan tidak digunakan oleh pihak ketiga? Adakah setelah alat itu di pasaran, hanya pemilik alat saja yang boleh akses rakaman mimpi itu atau datanya disimpan secara awan (cloud)?” katanya meninggalkan persoalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN