KOTA BHARU – Rata-rata penduduk mendakwa melihat banyak kenderaan tidak dikenali memasuki kawasan Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa di sini, pada waktu awal pagi menuju ke arah sebuah inap desa yang dijadikan ‘sarang’ pertemuan lelaki songsang.
Tinjauan mendapati kebanyakan penduduk tidak mengetahui banglo itu diserbu pihak berkuasa bulan lalu.
Seorang penduduk dikenali sebagai Azimah, 65, berkata, kampung itu memang sunyi kerana kebanyakan penduduk terdiri daripada warga emas dan golongan usia pertengahan gemar berada di dalam rumah
“Sebelum ini, saya nampak banyak kenderaan termasuk motosikal orang luar keluar masuk kawasan kampung ini.
“Ada yang sampai pukul 3 pagi masuk ke kampung ini. Banyak kenderaan masuk sini pada waktu malam,” katanya ketika ditemui semalam.
Azimah bagaimanapun menyedari tiada kenderaan orang luar masuk ke kampung itu sejak beberapa minggu lalu.
Seorang warga emas, Yusoff Abdul Rahman, 70, berkata, dia terkejut selepas dimaklumkan rakannya berhubung serbuan di banglo berkenaan.
Katanya, banglo yang dikatakan menjadi sarang perjumpaan lelaki songsang itu berada jauh di dalam kampung.
“Saya tinggal lebih 50 tahun di sini dan tidak pernah dengar ada kegiatan tidak bermoral di sini,” katanya.
Seorang penduduk lain dikenali sebagai Rahimah, 60, memberitahu, dia tidak menyangka terdapat kegiatan perjumpaan lelaki songsang di kampung tersebut.
“Mungkin orang luar yang datang ke rumah tersebut. Saya juga terkejut dan tidak menyangka ada individu yang terbabit dengan kumpulan songsang itu,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














