MODEN dan elegan menjadi keutamaan buat personaliti popular, Scha Alyahya saat tampil di depan kamera mahupun muncul di acara glamor.
Potongan longgar dan aksesori minimum dengan sentuhan minimalis sudah cukup untuk menonjolkan pesona ibu dua cahaya mata itu.
Kata tuan punya badan, gaya straight cut atau potongan lurus dan tidak terlalu ketat menjadi pilihan kerana tidak terlalu menonjolkan bentuk badan.
“Saya sejenis yang mudah dan tidak cerewet dalam soal pakaian. Sekiranya saya diminta untuk mengenakan pakaian tertentu untuk hadir ke sebarang acara, saya ambil maklum dan menerimanya.
“Pada saya pakaian itu tidak terlalu ketat dan sedikit longgar. Secara peribadi saya suka pakaian baggy dan tidak terlalu menonjol potongan badan,” katanya kepada CitaRasa ketika ditemui pada majlis pelancaran Mis Claire X Scha Alyahya baru-baru ini.
Meskipun terlihat selesa mengenakan palet warna pastel seperti putih, beige, coklat lembut dan biru kekelabuan, Scha bagaimanapun tetap tampil berani menggayakan rona kuning dan merah.
Bagi pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu, penjagaan penampilan penting buatnya yang bergelar selebriti. Bukan saja soal fesyen, tetapi solekan juga menjadi hal penting yang dianggap sebagai pelaburan lebih-lebih lagi tatkala muncul di depan khalayak.
“Bagi saya, baju dan solekan adalah penting sebab kita perlu menjaga imej dan penampilan. Jadi, saya anggap pakaian itu satu pelaburan kerana agak sukar apabila khalayak seperti tidak memberi peluang kepada artis untuk mengulang pakaian.
“Susah betul jadi artis sampai kita pakai baju tidak boleh ulang-ulang, jadi untuk penjimatan kita perlu pandai untuk padankan dengan busana lain atau saya akan gunakannya untuk sesi penggambaran.
“Tidak dinafikan sebagai selebriti saya memang ada banyak koleksi pakaian, tetapi setiap dua atau tiga bulan sekali akan berikan pakaian itu kepada ahli keluarga dan kenalan terdekat, mahupun sesiapa saja yang ada depan mata saya,” katanya.
Tatkala disoal mengapa tidak menjual semula secara ‘preloved’, pelakon berusia 42 tahun itu memberitahu, lebih selesa memberinya secara percuma tanpa mengenakan bayaran.
Meskipun sudah sekian lama mengamalkan gaya sebegitu, Scha bagaimanapun belum pernah berdepan situasi ada yang meminta pakaian percuma daripada dirinya.
“Bagi saya kalau hendak menjualnya semula secara preloved agak renyah sebab nanti banyak kerja. Jika jumlah sedikit mungkin mudah, tetapi ini dalam jumlah yang banyak jadi saya selalunya bagi percuma saja.
“Perkara sama juga saya lakukan pada pakaian anak-anak apabila setiap enam bulan sekali saya akan pastikan pakaian mereka yang sudah tidak dipakai diberikan kepada orang lain.
“Suami juga suka menyimpan barang-barang sehinggakan saya kata almari itu dah nak roboh, jadi tolonglah buat sesuatu,” kata isteri kepada pengacara popular Awal Ashaari dengan nada berseloroh dan menutup bicara.














