fbpx
Antara ikan puyu yang saya dapat di trip terjah tersebut.

Terjah ladang sawit KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALI ini merupakan trip memancing main terjah sahaja dan lokasinya ialah di sebuah ladang kelapa sawit di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ini berikutan seorang sahabat saya, Anuar telah menunjukkan hasil panci­ngannya yang berupa ikan sepat Siam dan puyu atau di sesete­ngah tempat dipanggil ikan betuk.

Saya kebetulan pula sememang­nya sudah lama tidak melayan ikan-ikan spesies tempatan yang habitatnya di kawasan berpaya tanah gambut ini. Lebih saya teruja apabila hasil tangkapan Anuar bagak-bagak belaka, manalah nak jumpa saiz sebegitu dewasa kini.

Lokasi pancingan ini bersemak-samun dengan dipenuhi pokok-pokok renek yang banat. Ada sesetengah tempat perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4X4) dan ada sesetengah tempat hanya boleh dilalui oleh motosikal.

Saya dan Anuar sampai di pinggir kawasan berbelukar itu pada pukul 2 petang dengan menggunakan kenderaan 4X4. Lorong masuk sememangnya sukar kelihatan dek lalang dan semak-samun yang tinggi merimbun. Jikalau tidak tahu lo­­­ro­ng­­nya, pasti tidak akan jumpa.

Saya sememangnya sudah bersedia dengan but getah Phua Chu Kang kerana sudah tahu bakal meranduk kawasan berpaya gambut yang berlecak.

Joran teleskopik dan umpan
Kami tidak menggunakan set pancing konvensional, sebaliknya hanya menaruh harapan dengan joran teleskopik. Pancingan di kawasan berpaya sebegini perlu menjadi lebih mobil kerana ia memudahkan, terutamanya tentang pergerakan ke sana dan ke sini serta senang hendak menyampaikan umpan terus ke lubuk ikan berkumpul.

Anuar telah menyiapkan umpan terlebih dahulu di rumah. Kami menggunakan umpan lumut hijau dan roti Gardenia yang diaduk dengan beberapa bahan-bahan lain. Tidak menunggu lama,

Anuar terus mendapat rentapan dan hasilnya seekor ikan sepat Siam bersaiz kasar.

Lima minit kemudian saya pula mendapat seekor ikan puyu. Memang betul-betul menjadi umpan yang disediakan Anuar. Kami bergi­lir-gilir menaikkan ikan sepat Siam dan puyu tanpa henti di satu lubuk itu sahaja

Tidak beberapa lama kemudian, secara tiba-tiba saya mendapat tarikan dari seekor ikan yang dirasakan berlainan kerana ia sungguh kuat. Tali yang saya gunakan hanyalah berkekuatan sepuluh paun (lb).

Secara berhati-hati saya melayan ikan tersebut sehinggalah ia lemah, kemudian barulah ia dapat ditebingkan. Alangkah terperanjatnya saya kerana ia ialah seekor ikan keli Afrika, bagaimana ia boleh berada di kawasan paya yang terceruk ini amat membingungkan saya.

Anuar bersama ikan sepat Siam pertamanya.

Mungkin ia masuk dari sungai yang berdekatan semasa banjir. Jika ia dapat membiak dengan baik di kawasan paya tersebut, dikhuatiri populasinya bakal merosakkan ekosistem dan stok ikan asli tempatan yang sedia ada di situ, terus ikan tersebut ditapau balik.

Hari semakin lewat petang, saya cuba berpindah ke tempat lain, tapi baru sepuluh langkah berjalan, saya terserempak dengan seekor ular berwarna hitam. Saya berasa tidak sedap hati dan terus mengajak Anuar pulang, lagi pun sudah hendak senja, meredah semak belukar dalam gelap untuk ke kereta pasti merunsingkan.

Trip susulan
Tidak berpuas hati dengan hasil yang diperoleh pada trip terjah tersebut, satu lagi trip susulan diatur. Kali ini Anuar hanya berdua bersama Mior tanpa saya ke satu lokasi lain, namun masih di sekitar KLIA.

Mereka menerjah kawasan pancingan hanya dengan bermotosikal.

Lokasi mereka kali ini bukanlah di dalam kawasan berpaya, sebaliknya ia berupa bekas parit yang sebelum ini menjadi pemisah antara batas-batas tanaman pokok sawit. Hasil yang mereka dapat amat memuaskan hati. Betul-betul mereka jumpa lubuk ikan sepat Siam dan puyu.

Mereka menggunakan umpan telur dan anak kerengga dan sememangnya ia umpan yang paling mujarab bagi menggoda sepat Siam dan puyu kerana hampir 10 kilogram ikan tangkapan dibawa balik, dengan banyak tangkapan mencecah saiz tapak but getah kuning yang mereka gunakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN