BESUT – Keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban, Allahyarham Nurly Sahirah Azman tetap menerima dengan tangan terbuka sesiapa yang mahu menziarahi kubur anak bongsunya di Kampung Gong Pasir, di sini bermula hari ini.
Ibu Nurly, Kamariah Abdul Latif, 60, berkata, dia dan suami, Azman Mohamed, 63, tetap menerima dengan tangan terbuka sekiranya ada yang mahu menyantuni mereka dan menziarahi kubur Nurly.
“Kita meraikan semua tetamu kerana menganggap mereka dijemput oleh Allah cuma harap tidak berlaku lagi perbuatan khurafat.
“Kalau boleh datanglah ikut masa ditetapkan 9 pagi hingga 6 petang, tidak seperti sebelum ini, masa maghrib masih ramai datang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menerusi program Ziarah Madani Peduli di kediaman mereka.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, mereka diharap tidak terlalu teruja sehingga melakukan perbuatan bertentangan dengan syariat.
“Minta sangat masyarakat jaga adab. Kita semua sayang Nurly, buat perkara-perkara disuruh agama dan doakan keampunan dosanya.
“Ambil ibrah (pengajaran) ziarah kubur orang yang Allah beri kelebihan ini, bukan ambil tanah kuburnya bawa balik rumah,” katanya.
Beliau menyantuni sebahagian keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dan cedera dalam nahas bas di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu menerusi program tersebut.
Mohd. Na’im berkata, ibu bapa Nurly pastinya kurang selesa dan bersedih sekiranya perkara khurafat melibatkan anak bongsu mereka berterusan selepas ini.
Beliau berkata, kedua-dua orang tua pelajar UPSI terbabit tidak mahu kebaikan dilakukan anak perempuan mereka sepanjang hayatnya tercalar ekoran perbuatan khurafat segelintir individu berkenaan.
“Hati mereka pasti terganggu mengenangkan seolah-olah arwah anak mereka pula penyebab pengunjung membuat perkara-perkara khurafat,” katanya.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan, keluarga Nurly memutuskan untuk tidak menerima tetamu selama empat hari sehingga semalam berikutan dakwaan berlakunya perbuatan khurafat mengambil tanah kubur gadis tersebut.
Pada Selasa lalu, Kosmo! turut melaporkan, pengamal perubatan alternatif mendakwa, tanah kubur Nurly mungkin digunakan untuk menghasilkan azimat sihir penunduk dan bagi tujuan memikat. -KOSMO! ONLINE
















