KUALA TERENGGANU – Keghairahan orang ramai yang mengunjungi kubur pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nurly Shahirah Azman di Besut dekat sini, dikhuatiri digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk pengamal ilmu hitam untuk melakukan perbuatan khurafat.
Pengamal perubatan alternatif dikenali sebagai Raf mendakwa, tanah kubur Nurly mungkin menjadi perhatian kumpulan tersebut khususnya untuk mereka menghasilkan azimat sihir penunduk dan bagi tujuan memikat.
Dakwanya, jenazah Allahyarham Nurly menetapi ciri-ciri diperlukan oleh kumpulan pengamal ilmu hitam memandangkan arwah merupakan seorang hafizah dan alim selain kematiannya adalah mengejut dan bukan disebabkan penyakit.
“Kematiannya akibat nahas bas membawa pelajar UPSI juga masyhur sehingga menjadi perhatian ramai.
“Lagipun Nurly merupakan gadis masih perawan yang mana pengamal ilmu hitam menganggap tanah kuburnya sesuai dijadikan azimat untuk sihir penunduk dan memikat,” dakwanya.
Beliau mendakwa, azimat yang diperbuat daripada cebisan tanah kubur tersebut boleh disimpan di dalam cincin bagi menundukkan orang.
“Sebahagian azimat itu juga diikat pada badan bagi menarik perhatian dan menggoda wanita idaman,” dakwanya.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan keluarga Nurly terpaksa memasang tali penghadang dan mengehadkan kunjungan ke rumah mereka dan kubur Nurly di Tanah Perkuburan Islam Gong Pasir, Besut berikutan dakwaan perbuatan khurafat.
Keluarga pelajar UPSI itu merupakan antara 15 korban nahas bas persiaran di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu dan tanah kuburnya menerima kunjungan lebih 1,000 orang sehari selain ada yang mengambil kesempatan untuk melihat naskhah al-Quran tulisan tangan Allahyarham.
Allahyarham Nurly mula menjadi tumpuan setelah kisah mayatnya ditemui dalam keadaan mendakap al-Quran sewaktu kemalangan tersebut tular di media sosial.
Mengulas lanjut, bapa Nurly, Azman Mohamed, 63, mengakui cukup kesal sekiranya benar dakwaan tanah kubur anak bongsu itu menjadi perhatian bagi tujuan ilmu hitam oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pesara kerajaan itu turut memohon pihak yang berbuat demikian agar segera bertaubat dan memohon keampunan Allah.
“Jangan minta pada kubur yang tidak boleh beri apa-apa kesan. Sebaiknya ziarah (kubur Nurly) untuk bersedekah al-Fatihah,” katanya.
Azman berkata, dia dan ahli keluarganya juga mula mengesyaki sesuatu tidak kena pada kubur Nurly pada awal minggu lalu.
“Kedatangan tetamu mulai 23 Jun lalu mula tidak terkawal. Kami sekeluarga mula ditanya soalan pelik-pelik yang tidak masuk akal.
“Sejak tarikh sama juga mula berlaku perkara khurafat pada kubur Nurly,” katanya.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd Sukki Othman menempelak tindakan pengunjung yang dikatakan mengambil cebisan tanah di pusara Nurly dan menganggap perbuatan itu sebagai khurafat.
Menurutnya, Islam tidak pernah menyuruh umatnya menjadikan pusara sebagai tempat keramat sebaliknya menekankan soal tawaduk, mengambil pengajaran daripada kematian dan berdoa dengan penuh ikhlas sebagai titipan mereka yang telah pergi.
“Perbuatan mengambil tanah dari kubur untuk dijadikan ‘penawar’, mencium batu nisan atau memuliakan pusara secara berlebihan termasuk dalam kategori amalan khurafat dan boleh membawa kepada syirik.
“Ia dilarang keras dalam Islam kerana menyamai amalan golongan terdahulu yang menyembah berhala, batu dan kubur,” katanya.
Katanya, sebarang anggapan bahawa tanah kubur membawa keberkatan atau mampu menyembuhkan penyakit tanpa nas yang sahih adalah sesuatu yang bercanggah dengan aqidah.
“Keberkatan bukan terletak pada tanah kubur tetapi pada usaha, doa dan amal soleh yang berpandukan syarak.
“Langkah keluarga arwah Nurly memasang tali penghadang di sekitar pusara adalah suatu tindakan yang wajar dan bertanggungjawab. Ini bukan sekadar menjaga adab tetapi mencegah ruang berlaku perbuatan khurafat,” ujarnya.
Menurut beliau, kejadian tersebut bukan sahaja menyentuh sensitiviti keluarga, bahkan menimbulkan kebimbangan terhadap kembalinya masyarakat kepada amalan khurafat dan kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam.
“Pada asasnya, menziarahi kubur itu merupakan sesuatu yang baik dan digalakkan di dalam Islam. Pada zaman permulaan Islam, Nabi Muhammad SAW melarang umat Islam menziarahi perkuburan.
“Larangan ini disebabkan kebimbangan timbulnya kepercayaan lama kepada berhala atau sebarang lambang keberhalaan. Akan tetapi kemudiannya, Nabi SAW membenarkan umat Islam menziarahinya,” katanya.














