fbpx
Gambar hiasan

K2

Kata kunci lemah risiko jadi mangsa jenayah siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMUNCULAN teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak dinafikan memberi impak besar kepada industri pendigitalan.

Namun, hal itu juga tidak boleh dipandang enteng kerana teknologi AI juga boleh digunakan oleh penjenayah untuk menghasilkan mesej palsu yang sukar dikesan kesahihan kandungan.

Penggunaan deepfake video dan ulasan palsu mampu mempengaruhi serta mempedaya pengguna sehingga menjerat mereka menjadi mangsa jenayah siber.

Menurut Pengarah Kanan, Risiko & Pematuhan di PayNet (Payments Network Malaysia), Ken Yon Kian Guan, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran dan mengamalkan tabiat keselamatan digital bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

“Pengetahuan dan kesedaran terhadap keselamatan siber penting bagi mengelakkan pengguna tidak mudah terpedaya dengan agenda penjenayah.

“Penjenayah kini bijak menyamar sebagai pihak berautoriti seperti pegawai bank atau rakan dengan mencipta situasi terdesak untuk memperdaya mangsa mendedahkan maklumat peribadi mareka,” katanya.

Tambahnya, ramai pengguna masih belum memahami bentuk penipuan seperti phishing (e-mel palsu), smishing (SMS penipuan) dan vishing (panggilan palsu).

Amalan menggunakan kata laluan lemah, menyambung ke sistem WiFi awam tanpa perlindungan dan gagal mengemas kini perisian turut membuka ruang kepada penjenayah siber.

KEN

Sebagai pengendali sistem pembayaran seperti DuitNow, FPX dan MyDebit, PayNet sentiasa melaksanakan langkah keselamatan kukuh bagi menjamin keselamatan pengguna.

“Biarpun sudah tersedia dengan sistem keselamatan berkualiti tinggi, namun keselamatan siber tidak hanya bergantung kepada sistem tetapi turut melibatkan tanggungjawab pengguna.

“Pengguna peranti pintar perlu mengunci peranti mereka dengan kata laluan kuat atau biometrik dan menggunakan Pengesahan Dua Faktor (MFA) untuk aplikasi penting.

“Jangan muat turun aplikasi dari sumber tidak rasmi dan sentiasa waspada terhadap mesej atau pautan mencurigakan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya tidak berkongsi maklumat peribadi dengan sewenang-wenangnya, termasuk di media sosial kerana bimbang maklumat tersebut boleh digunakan untuk meniru identiti dan mencipta serangan siber yang disasarkan.

Bagi pembayaran dalam talian, beliau menekankan tentang kepentingan memastikan laman web mempunyai https:// dan ikon kunci serta mengelakkan menyimpan maklumat kad di laman web yang diragui.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN