MASIH segar dalam ingatan saya hari ketika salah seorang ahli keluarga yang demam tiba-tiba jatuh pengsan dalam bilik air.
Kepalanya terhantuk pada lantai. Saya yang berada di pejabat ketika itu tidak senang duduk sebaik menerima panggilan video melihat anak yang berlumuran darah.
Jiran yang dipanggil bergegas datang menghulurkan bantuan dan segera membawa anak ke hospital. Berdasarkan kepada ceritanya, dia langsung tidak ingat apa yang berlaku. Sedar-sedar sudah bermandikan darah.
Ketika itu tidak sangka yang dia akan didiagnos dengan salah satu keluarga penyakit jantung paling ditakuti dikenali sebagai Sindrom Brugada.
Bagi kebanyakan orang termasuk saya dan keluarga berasa pelik apabila mendengar nama sindrom tersebut. Benar, sindrom tersebut amat janggal dikenali dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Anak encik umpama diberikan nyawa kali kedua. Nasib baik jantungnya kembali berdenyut kerana dalam kebanyakan kes, serangan biasanya berakhir dengan kematian,” kata doktor.
Kata-kata itu bagaikan menyentap perasaan saya. Tanpa berlengah, saya segera bertanya kepada ChatGPT mengenai takrifan penyakit itu.
Sindrom Brugada ialah satu gangguan genetik yang menjejaskan fungsi elektrik jantung. Ia boleh menyebabkan gangguan irama jantung yang serius (aritmia), dan dalam kes tertentu, ia membawa risiko kematian mengejut.
Jika sebelum ini, saya hanya mengambil sikap tidak peduli mengenai penyakit jantung, namun sejak kejadian itu ia membuatkan saya lebih sensitif.
Mengikut doktor, Sindrom Brugada biasanya berlaku kepada orang muda yang nampak sihat, gemar bersenam selain tidak menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit jantung. Salah satu sebab kita mendapat penyakit itu ialah melalui keturunan.
Ini bermakna, ia ada di dalam badan mana-mana waris individu yang pernah berdepan dengan penyakit jantung. Lebih teruk ia menjadi pembunuh senyap pada bila-bila masa.
Paling menakutkan apabila serangan berlaku ketika kita berada seorang diri seperti di dalam bilik air atau kawasan sunyi kerana tiada siapa dapat membantu. Biasanya, ia terjadi apabila ada penyebab yang mendorongnya aktif seperti demam atau stres.
Penawar penyakit ini hanya satu iaitu penghidapnya perlu dipasangkan bateri. Ia bertujuan memberikan percikan untuk menghidupkan atau menstabilkan denyutan jantung sekiranya berhenti atau berdenyut laju.
Takdir Allah SWT, anak saya telah menerima rawatan awal. Baru semalam, dia telah dipasangkan bateri di Pusat Kardiologi Hospital Sultan Idris Shah Serdang.
Kepakaran doktor tempatan yang mengendalikan kes berkaitan jantung tidak dapat dipertikaikan lagi. Tidak hairanlah Malaysia begitu popular sebagai destinasi pelancongan perubatan.
Walaupun ia agak mengejutkan, saya bisikkan sesuatu pada telinganya: “Berdamailah dengan ‘kawan’ baharu dalam badan kamu.” -KOSMO! ONLINE














