PONTIAN – Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bimbang penyakit misteri yang dihidapinya sejak sebulan lalu iaitu terdapat bintik-bintik merah di kedua-dua kakinya akan melarat ke bahagian lain.
Zurina Asyiqin Azlan, 17, berkata, kebimbangan itu berikutan dia akan menduduki peperiksaan percubaan SPM pada Ogos ini, seterusnya peperiksaan sebenar pada Disember nanti.
“Saya cuma berharap agar ia segera sembuh. Disebabkan itu, saya tidak menyertai sebarang aktiviti kokurikulum di sekolah termasuk Pendidikan Jasmani dan aktiviti bersukan seperti pelajar-pelajar lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Pasir Lama, Pekan Nanas, di sini semalam.
Menurutnya, dia mengalami bintik-bintik merah pada kakinya pada 23 Mei lalu apabila muntah sebanyak dua kali diikuti membuang air besar beberapa kali.
Katanya, pada hari tersebut keadaan dirinya benar-benar lemah sewaktu dirujuk ke bahagian kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, namun dibenarkan pulang pada pukul 4 pagi keesokan harinya.
“Bagaimanapun, keluarga membawa saya semula ke HSA memandangkan keadaan saya bertambah teruk dan telah ditahan di wad sehingga 30 Mei lalu.
“Doktor pun tidak dapat mengesahkan penyakit yang saya hadapi dan keputusan ujian darah dan kulit hanya diketahui pada 1 Julai ini,” katanya.
Tambah Zurina Asyiqin, disebabkan penyakit yang dihidapi itu, ada ketikanya dia tidak dapat berjalan seperti biasa dan terpaksa ‘menapak’ kerana berasa sakit seolah-olah kakinya dicucuk jarum.
Dia yang kini belajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Nanas menambah, penyakit yang dihidapinya tidak gatal tetapi mengalami bisa pada kedua-dua kakinya.
Ujarnya, pada waktu malam, kakinya merasa sakit ketika bersentuhan dengan selimut dan ini menyebabkan dia tidak mendapat tidur mencukupi kerana kerap terjaga.
“Terdapat juga nanah serta bintik-bintik kemerahan pada awalnya, namun setelah mendapat rawatan dengan memakan ubat-ubatan diberikan oleh pihak hospital, keadaanya semakin berkurangan,” ujarnya.
Kata Zurina Asyiqin, keluarganya ada membawa dia mendapatkan rawatan tradisional, di Kampung Sungai Burung, Pekan Nanas, namun diberitahu mengalami penyakit kayap dan darah.
















