BRASILIA – Seorang pemandu kereta di Brazil tidak menyedari dia melanggar wanita yang hanya memakai blaus dan stoking hingga mati, lapor portal berita MSNews hari ini.
Lelaki itu menemui mayat wanita tersebut terbaring di atas bumbung keretanya selepas dia tiba di rumah.
Menurut media Brazil PP News, kejadian mengejutkan itu berlaku pada awal pagi di lebuh raya ERS-344.
Lelaki berkenaan dilaporkan memandu keretanya dalam keadaan kabus tebal.
Pada satu ketika, pemandu itu merasakan kesan hentaman secara tiba-tiba tetapi dia menganggap telah melanggar haiwan dan tidak berhenti untuk memeriksa.
Dia segera memaklumkan pihak berkuasa selepas menemui mayat di atas bumbung keretanya.
Wanita itu dikenal pasti sebagai Viviana Beatriz Villalba, 22 dari Argentina, yang baru dua minggu berada di Brazil, lapor laman berita Brazil Radio 105.7.
Menurut polis, dia merupakan ibu kepada anak kecil dan bekerja di sebuah kelab malam di tepi lebuh raya.
Ketika kemalangan, mangsa hanya memakai blaus dan stokin.
Pemandu mengambil ujian alkohol yang menunjukkan dia tidak mengambil minuman keras.
Pihak berkuasa telah mendaftarkan kes itu yang menyebabkan kematian dan kenderaan tersebut disita. – AGENSI