LIVERPOOL – Pasukan Liverpool memecahkan rekod pembelian termahal arena bola sepak England selepas menandatangani pemain muda Jerman, Florian Wirtz daripada kelab Bayer Leverkusen dengan nilai keseluruhan yang dilaporkan sebanyak £116 juta (RM696 juta).
Wirtz yang berusia 22 tahun mengakui teruja dapat melengkapkan perpindahan ke Anfield dan harap dapat membantu The Reds mencapai banyak kejayaan pada musim depan.
“Liverpool telah menang Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, sudah tentu saya mahu bantu mereka mempertahankan kejuaraan dan selain mahu melangkah jauh dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
“Saya harap dapat menang semua (trofi), setiap musim!” katanya.
Dalam 197 penampilan bersama Leverkusen, Wirtz mencatatkan 57 gol dan 65 bantuan jaringan sehingga berjaya memikat pengendali Liverpool, Arne Slot.
Selain Wirtz, Liverpool difahamkan juga hampir melengkapkan pembelian pertahanan kiri Bournemouth, Milos Kerkez, dengan harga sekitar £40 juta (RM240 juta).
Wirtz menjadi pemain kedua yang ditandatangani The Reds selepas pemain pertahanan, Jeremie Frimpong pada jendela perpindahan kali ini. – AGENSI