Gambar Norazryana bersama bapa mentuanya, Ali yang kini terpaksa keluar dari Iran.

Berlindung di terowong bawah tanah, masjid bimbang serangan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Mungkin ini adalah kali terakhir kita dapat melihat rumah dalam keadaan sempurna di Tehran. Selepas ini mungkin tiada lagi.”

Demikian luahan pilu seorang rakyat Iran, Ali Namazi, 70, yang kini telah berpindah keluar dari ibu kota Tehran ke wilayah Mazandaran di utara Iran sejak Isnin lalu.

Perkara itu diceritakan Ali kepada menantunya yang juga rakyat Malaysia, Norazryana Mat Dawi, 40, sebelum mereka terputus hubungan.

Norazryana berkata, bapa mentuanya itu terpaksa berpindah selepas Israel dan Amerika Syarikat beberapa kali mengeluarkan amaran berhubung sera­ngan berskala besar akan berlaku yang menyasarkan pelbagai kemudahan awam di negara tersebut.

“Keadaan di Iran semakin tegang dan membimbangkan, mereka (Israel dan AS) berkali-kali memberi amaran untuk menyerang dengan lebih teruk dan menyuruh penduduk Tehran keluar dari kawasan itu.

“Setiap waktu kami berdebar, terutama apabila rejim Zionis membuat pengumuman besar.

“Pada awalnya serangan dibuat di kawasan fasiliti tentera, namun kini mereka menyasarkan di tempat-tempat lain seperti di bangunan penyiaran televisyen dan radio, simpanan minyak, kilang pembuatan kereta dan rumah awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Norazryana yang menetap di Kanada bersama suami­nya berkata, sebelum terputus hubungan dengan keluarga mentuanya, mereka memang sudah menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi akibat gangguan internet.

“Selama ini, kami juga se­ring berhubung dengan keluarga mentua saya walaupun talian internet tidak begitu baik sehingga menyebabkan kami terpaksa bertukar-tukar platform untuk tahu khabar mereka di sana,” ujarnya.

Katanya, menjelang saat-saat akhir sebelum bapa mentuanya berpindah, penduduk Tehran turut berdepan situasi pembelian panik di kebanyakan pasar raya kerana bimbang akan kemungkinan terburuk.

Ujarnya, Iran tidak menyediakan sebarang pusat perlindungan rasmi kepada orang awam, sebaliknya menasihatkan penduduk untuk berlindung di terowong bawah tanah atau di masjid.

“Mentua saya ke kedai sehari sebelum berpindah dan mendapati pembelian panik berlaku sehingga rak-rak barangan makanan sudah banyak yang kosong.

“Walaupun Iran tidak bergantung bekalan makanan pada negara lain, tapi ia sedikit sebanyak terganggu disebabkan perang ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN