PETALING JAYA – Seorang lagi jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci pagi ini (waktu tempatan).
Menerusi satu hantaran oleh seorang jemaah yang mahu dikenali sebagai Anwar di Facebook, Ghazali Ab. Rahman, 74, yang difahamkan meninggal dunia akibat keuzuran di biliknya ketika waktu Subuh.
Menurut Anwar, rakan sebilik Allahyarham memaklumkan arwah sempat menitipkan pesanan menyentuh hati sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Kalau sehari satu waktu pun tak pergi solat di Masjidil Haram, lebih baik ambil tiket balik Malaysia,” katanya.
Difahamkan, arwah yang berasal dari Kelantan turut sempat menziarahi pusara isterinya yang meninggal dunia di Mekah ketika menunaikan umrah dua tahun lalu.
“Lebih menyentuh hati, isterinya juga meninggal dunia di Mekah ketika menunaikan umrah dua tahun lalu. Dalam kesempatan haji kali ini, arwah sempat menziarahi pusara isterinya, seolah-olah menutup kisah cinta mereka di dunia dengan penuh kehormatan.
“Beberapa hari sebelum meninggal, arwah mengemas semua barang miliknya dengan rapi, sedangkan tarikh pulang ke Malaysia masih jauh. Seolah-olah beliau sudah tahu, sudah bersedia dan sudah reda,” tulis Anwar di ruangan kapsyen.
Tinjauan di ruangan komen, ramai yang mengucapkan takziah dan kagum dengan pemergian bermakna itu.
“Rezeki Allah kepadanya dapat bersama isteri di tanah suci. Allahuakbar. Allah maha pengasih,” komen Mawar Desa.
“Antara insan yang terpilih,” kata Zubaidah Manaff.
“Allahuakbar moga dicucuri rahmat,” ujar Ramlah Aziz. -KOSMO! ONLINE