fbpx
Seekor gajah yang sempat dirakam penduduk ketika menceroboh kawasan kampung di Gua Musang kelmarin.

Gajah ceroboh pada hari raya korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Lebih 400 penduduk bukan sahaja hidup dalam ketakutan, malah kerugian apabila pokok kelapa dan kelapa sawit yang mereka usahakan musnah akibat dirosakkan seekor gajah yang menceroboh Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Paloh 1 di sini kelmarin.

Kejadian pukul 6 petang itu berlaku apabila gajah liar tersebut mula menceroboh kampung pada Hari Raya Aidiladha lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mukim Relai Utara, Mohd. Sopian Che Seman berkata, sebelum ini, beberapa kumpulan gajah liar ha­nya berkeliaran di kawasan ladang dan merosakkan tanaman diusahakan penduduk yang terletak jauh dari kawasan penempatan.

“Penduduk kini bimbang de­ngan keselamatan nyawa ahli keluarga apabila gajah liar itu semakin berani masuk ke kawasan penempatan.

“Setakat ini, kami kesan hanya seekor gajah sesat masuk ke kawasan kampung. Dianggarkan lebih 10 ekor gajah daripada beberapa kumpulan terdapat di kawasan hutan dan ladang kelapa sawit berhampiran,” katanya.

Beginilah keadaan pokok kelapa dan sawit yang musnah dikerjakan seekor gajah di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Paloh 1, Gua Musang.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Azlan Mat Nor, 40, berkata, peneroka menanggung banyak kerugian apabila hasil tanaman kelapa sawit di kawasan ladang telah dirosakkan gajah sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, masalah ancaman gajah itu berlarutan dan masih belum dapat diatasi sehingga penduduk menanggung kerugian setiap tahun.

“Kami berharap pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan dan Perhilitan dapat bekerjasama memindahkan gajah liar bagi mengelak kerugian berterusan hasil pendapatan kelapa sawit peneroka.

“Kami juga bimbang dengan keselamatan nyawa peneroka dan anak mereka yang datang ke ladang kelapa sawit sekiranya terserempak dengan gajah ber­kenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, anggota telah dihantar ke lokasi bagi menyiasat kejadian serangan haiwan liar dan khidmat nasihat keselamatan diberikan kepada penduduk kampung selepas menerima maklumat mengenai kehadiran gajah tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN