REMBAU – Usaha yang dilakukan selama 365 hari untuk mengumpulkan 850 ahli keluarga daripada tujuh generasi zuriat Duyut dan Jadi membuahkan hasil apabila kesemuanya datang berhimpun termasuk dari Bangladesh dan Australia baru-baru ini.
Program hari keluarga kali kelima di Kampung Kundur Hulu di sini itu, telah dilaksanakan sejak 50 tahun lalu dan ada yang sanggup terbang dari Melbourne, Australia dan Universiti Mymensingh Bangladesh semata-mata untuk berkumpul dengan sanak saudara.
Wakil keluarga generasi kelima, Nazatul Azalina Abdullah berkata, keluarga dari luar negeri itu merupakan generasi keenam dan masih belajar di negara berkenaan dalam jurusan kedoktoran veterinar.
Katanya, mereka yang hadir merupakan generasi ketiga hingga ketujuh, manakala generasi pertama dan kedua sudah meninggal dunia.
“Perhimpunan sempena Aidiladha dilakukan setiap sedekad dan ia berlaku pada tahun 1984, 1994, 2004, 2014 dan 2025.
“Idea asal bermula pada tahun 1973 daripada keluarga Abdul Razak Mohd. Ali diketuai ahli perniagaan, Abdul Malek Omar,” katanya di sini baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris.
Menurut Nazatul Azalina, ia kemudian disokong generasi sezaman dan akhirnya himpunan itu telah menjadi kenyataan pada tahun 1984 di Telapak Wan Aso Khamis Duyut dan yang terbaharu di Telapak Long Langsi.
Tambahnya, tahun ini mereka turut menyampaikan hadiah khas kasih sepanjang zaman berupa pakej umrah buat Noraziah Ismail, 65.
“Semua ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus selama setahun bagi menjayakan program itu juga menerima pakej percutian,” katanya.
Ujar Nazatul Azalina, mereka berharap agar tradisi tersebut diteruskan oleh generasi akan datang supaya lebih ramai waris dapat berhimpun.















