Bulan lepas saya pernah menulis berkenaan lokasi pancingan ini di bawah tajuk ‘Mengilat siakap putih lubuk asuhan’. Ia berkenaan kawasan pancingan berupa sungai berair payau yang kecil, cetek dan jernih airnya.
Terdapat beberapa kawasan bereba yang berupa pokok kayu tumbang yang menjadi ‘rumah’ kepada ikan siakap putih.
Walaupun ikannya kecil sahaja, namun ia amat menyeronokkan apabila dapat digoda dengan pelbagai jenis gewang menggunakan set mengilat ultralight.
Trip susulan
Sebulan selepas memancing ikan siakap putih di lokasi tersebut, saya dan beberapa orang rakan sekali lagi datang ke sini untuk menduga kumpulan siakap putih yang kami tinggalkan dahulu. Adakah ia masih ada di sana dan jika masih ada, adalah ia membesar atau sebaliknya?
Hampa dengan keputusan pancingan, tanggapan kami meleset sama sekali, nak dapatkan seekor siakap putih, hatta bersaiz baby pun susah.
Ke manakah kesemua ikan-ikan ini menghilang? Tidak dapat kami pastikan.
Saya merasakan ada tangan-tangan yang tamak mengaut semua populasi ikan siakap putih yang ada di lokasi ini.
Sebab itulah pentingnya amalan tangkap dan lepas (catch and release) atau tangkapan terpilih (selected harvest) supaya stok ikan di satu-satu kawasan itu dapat bertahan untuk pemancing lain, bukannya pupus begitu sahaja.
Kami tetap meneruskan misi trip. Namun, setelah beberapa jam mencuba, kami hanya berjaya menaikkan beberapa ekor anak ikan siakap merah yang sememangnya wajib dilepaskan semula.
Tukar lokasi
Memandangkan cuaca semakin panas, ditambah pula ikan tidak mahu membaham gewang atau mungkin sudah pupus, Raff mengajak kami mencuba di seberang jalan pula.
Sekurang-kurangnya trip kami ini tidak menjadi sia-sia.
Ia merupakan sungai yang sama, tetapi keadaan lokasi pancingannya berbeza. Menurut Raff, kami boleh berteduh di bawah pokok kelapa di situ. Tidak perlulah kami berjemur hingga boleh memudaratkan badan di bawah bahang terik mentari.
Keadaan air di sini seperti lubuk siakap putih yang sudah hancur tersebut. Cuma di sini satu dan dua tempat sahaja kelihatan airnya dalam. Saranan Raff, selalulah baling dan tarik gewang di tempat yang dalam berulang kali, kalau ada rezeki pasti akan ada ikan membahamnya.

Ini berikutan ikan gemar menjadikan tempat yang dalam itu sebagai kawasan mencari makan.
Selain itu, bahang terik mentari juga tidak dapat menerobos hingga ke dasarnya, sekali gus menyebabkan kawasan yang dalam lebih sejuk berbanding kawasan cetek.
Kami semua berpecah, masing-masing mencari lubuk yang gelap dan dalam untuk ‘memujuk’ apa sahaja ikan pemangsa yang menjadi penghuninya. Usaha kami itu juga tidak membuahkan hasil.
Sebaliknya, hanya Raff sahaja yang berjaya menaikkan seekor ikan siakap putih dan seekor ikan bulan bersaiz kecil.
Biarpun kami memancing di bawah bayang pokok kelapa, namun bahang panas tetap terasa dan menyebabkan trip kali ini
ditamatkan dengan sedikit rasa hampa.
Namun, saya tetap tidak berputus asa kerana dapat merasakan lokasi ini masih berpotensi untuk dicuba, mungkin trip susulan akan dilakukan dalam masa terdekat.
Siakap merah
Malam esoknya, saya menerima satu kiriman gambar WhatsApp daripada Raff yang menunjukkan dia bersama seekor ikan siakap merah bersaiz kasar.
Menurutnya, petang esoknya dia kembali lagi ke lubuk yang sama untuk menghilangkan stres bekerja. Lontar tarik gewang di tempat yang sama telah membuahkan hasil iaitu seekor siakap merah bersaiz cantik.
Ikan ini menyambar ganas gewangnya betul-betul di hadapannya ketika dia baru ingin mengangkat gewang untuk dilontarkan kembali ke lubuk semula.
Menurut Raff, siakap merah yang menyambar gewang itu terus memecut laju apabila menyedari dirinya termakan gewang.
Mujurlah pada ketika itu Raff membuka sistem tegangan, kalau tidak putuslah jawabnya.
Berdesup-desup juga ia melarikan diri, sistem tegangan kekili tidak henti-henti berbunyi.
Disebabkan keadaan air di sini cetek dan tidak mempunyai reba yang banyak, dengan mudah sahaja Raff menewaskannya.
Saya dapat rasakan yang kawasan itu ada secubit harapan dan ia masih berpotensi untuk dipancing lagi.














