PERCUBAAN lelaki ini dalam penternakan itik telur secara suka-suka bertukar kepada sumber pendapatan tetapnya kini.
Bagi Mohd. Shafie Md. Isa, 42, dia bermula dengan menternak 50 ekor itik telur di kawasan rumahnya di Kampung Baru Bukit Sedanan, Selandar, Jasin, Melaka.
Katanya, pendapatan sampingan daripada penjualan telur itik mentah dan dibuat telur masin mendapat permintaan tinggi terutama daripada sebuah pasar raya milik seorang pelakon dan pengarah di Setiawangsa, Kuala lumpur.
Melihat hasil pendapatan yang diperolehi cukup lumayan dan permintaan tinggi, dia menggunakan duit simpanannya untuk menambah kira-kira 1,700 ekor itik telur.
“Saya ambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai penyelia sebuah syarikat di Melaka dan mengusahakan ternakan itik telur secara sepenuh masa apabila ia membuahkan hasil.
“Tetapi disebabkan kurang pengetahuan pada permulaan, saya pernah mengalami kerugian ribuan ringgit apabila telur itik banyak rosak kerana tidak menyediakan reban.
“Maka dengan itu saya mengambil inisiatif sendiri dengan mengambil kursus kemahiran dalam bidang penternakan,” katanya.

Dia mengambil kursus penternakan itik penelur dan pelan perniagaan di Jabatan Penternakan Veterinar yang hanya dijalankan secara singkat bagi pengusaha.
Ujarnya, selepas menyertai kursus kemahiran tersebut, dia memperolehi banyak ilmu baharu berkaitan cara penternakan itik selain menguruskan bisnes.
“Saya juga menerima bantuan RM20,000 oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
“Menggunakan wang tersebut, saya dapat membina empat reban dan membeli peralatan lain supaya kerosakan telur dan kerugian tidak berulang,” katanya.
Mohd. Shafie berkata, daripada 50 ekor itik telur, kini sudah melebihi 3,000 ekor.
Terang lelaki itu, secara purata itik ternakannya mampu menghasilkan antara 1,000 hingga 1,500 biji telur sehari di kawasan seluas 0.4 hektar.
Lebih membanggakan, dia yang turut pernah menerima anugerah Peladang Jaya Harapan pada 2023 mengakui mampu menjana pendapatan melebihi RM50,000 sebulan.
Berkongsi lanjut, Mohd. Shafie kini menjadi pemborong dan pembekal telur itik mentah serta telur masin melalui syarikat miliknya, Shaeza Global Enterprise.

Katanya, telur itik yang diusahakan mendapat permintaan tinggi bagi pasaran di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Alhamdulillah, saya tidak sangka penternakan telur itik yang diusahakan secara suka-suka kini menjadi sumber pendapatan utama keluarga.
“Saya juga tidak menyesal berhenti kerja lama. Pada masa sama, saya berhasrat untuk membesarkan kawasan penternakan dengan menambah bilangan itik telur.
“Ini kerana, penghasilan telur sedia ada tidak mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat saban hari,” ujarnya yang juga merupakan salah seorang usahawan di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka.
Tambahnya, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Jasin dan negeri Melaka juga banyak membantu dari segi pemantauan ladang serta kesihatan ternakan dari masa ke masa.
Hal itu demi menjamin kualiti ternakan dan hasil telur berada pada tahap terbaik sebelum dipasarkan.
Beritahunya, permintaan telur masin paling tinggi diterimanya daripada pemilik restoran asam pedas di negeri Melaka hingga kadangkala dia terpaksa mendapatkan bekalan tambahan dari penternak lain.















