BERPENAMPILAN dengan rekaan-rekaan fesyen berwarna putih.
Itulah yang diperagakan oleh model-model yang terlibat dalam pertunjukan fesyen De Blanco Show.
Pertunjukan tersebut menampilkan koleksi-koleksi ciptaan pelajar-pelajar yang mengambil jurusan fesyen di Universiti Kuala Lumpur Kampus Cawangan Malaysia Italy Design Institute (UniKL MIDI), Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.
De Blanco itu bermaksud ‘pertunjukan putih’ dalam bahasa Itali.
Sememangnya Itali suatu negara yang begitu sinonim dengan fesyen. Milan terkenal sebagai kota fesyen dan begitu banyak tokoh besar fesyen dunia berasal dari negara itu seperti Donatella Versace, Giorgio Armani, Roberto Cavalli dan ramai lagi.
UniKL MIDI menerajui inovasi dan kecemerlangan dalam rekaan dan pembuatan dengan fokus strategik pada kerjasama dengan institusi pendidikan dan pemain industri terkenal Itali.
Ia dilihat sebagai penghubung pembangunan modal insan dan saluran pemindahan teknologi dari Itali ke Malaysia.
Justeru, misi yang cuba dibawakan UniKL MIDI ialah melahirkan pereka-pereka fesyen yang hebat seiring keunggulan dan gahnya industri fesyen Itali.
Pertunjukan fesyen De Blanco itu menampilkan rekaan pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen dengan Pemasaran (Kepujian). Pertunjukan itu pertama kali diadakan memandangkan pengajian fesyen baru sahaja ditawarkan di UniKL.
Nur Syaza Husna Mohd. Rosdi, 25 merupakan salah seorang pelajar yang terlibat dalam pertunjukan fesyen itu.
“Saya menonjolkan elemen ‘mawar putih’ dalam rekaan saya bagi mengikuti tema yang telah ditetapkan.
“Untuk rekaan, saya rujuk pada beberapa platform dan selebihnya adalah idea saya sendiri dan tunjuk ajar tenaga pengajar,” katanya.
Untuk rekaan tersebut dia turut menggunakan fabrik yang terpakai.Sebagai contoh, bagi bahagian ‘top’ dalam rekaannya menggunakan kain langsir terpakai.
Tambahnya, dia perlu mengatur masa dengan sebaiknya bagi memastikan hasil rekaan siap pada masanya.
Dalam masa sama, Nur Syaza teruja untuk menyertai pertunjukan fesyen itu.
Baginya, pertunjukan fesyen itu memberi peluang kepada para pelajar untuk menonjolkan hasil rekaan mereka kepada orang ramai.
SELAIN itu, kata Nur Syaza, mereka juga dapat belajar bagaimana perjalanan untuk menjayakan sesuatu pertunjukan fesyen.
“Pertunjukan ini juga memberi keyakinan kepada kami untuk terus berkarya dengan menghasilkan pelbagai rekaan fesyen pada masa hadapan,” ujarnya.
Tambah Syaza, besar harapannya pada masa hadapan untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang fesyen jika mendapat peluang.
Sementara itu, Pengarah Program yang merupakan pelajar, Nur Shafiqah Muhamad Shafei berkata, seramai 20 pelajar terlibat dalam pertunjukan fesyen tersebut.
Menurutnya, ini adalah pertunjukan fesyen pertama diadakan bagi subjek pengurusan acara fesyen dalam kursus Rekaan Fesyen dengan Pemasaran yang diambil oleh mereka.
“Hasil rekaan yang dihasilkan adalah serba putih dengan menggunakan bahan lestari,” ujarnya yang berusia 23 tahun.
Tambahnya, pertunjukan itu bukan sekadar menampilkan fesyen pakaian tetapi turut menyampaikan prinsip 3R iaitu kurangkan, guna semula dan kitar semula.
Pelajar bukan sahaja mencipta busana yang menawan, malah mencabar industri untuk menilai semula pendekatan terhadap kelestarian dengan menggunakan barangan kitar semula untuk menghasilkan rekaan.
Selain bertanggungjawab menjayakan program tersebut, Nur Shafiqah turut mengambil bahagian dan menjadi pereka untuk pertunjukan fesyen tersebut.
Idea rekaannya adalah inspirasi daripada sebuah lagu bertajuk Y Si Fuerra Ella yang dinyanyikan oleh Alenjandro Sanz dan penyanyi dari Korea Selatan Jonghyuan Shinee juga pernah membuat persembahan dengan lagu tersebut.
“Persembahan tersebut menjadi sumber inspirasi saya kerana Jonghyun lebih menjiwai watak ketika menyanyikan lagu tersebut yang menggambarkan sakit dan kesengsaraan dalam putus cinta.
“Jadi dalam busana yang saya hasilkan terdapat tulisan lirik-lirik lagu, rangka besi di atas bahu yang menutupi muka dengan tirai untuk menggambarkan bahawa cinta juga boleh menyebabkan kita rasa terperangkap.

“Bahan yang saya gunakan untuk menghasilkan rekaan itu adalah lebihan fabrik belacu serta besi rod,” jelasnya.
Selain terlibat persembahan fesyen, pelajar-pelajar juga memainkan peranan untuk menjayakan pertunjukan tersebut.
Mereka sendiri yang perlu menguruskan pelbagai perkara untuk menjayakannya.
Nur Shafiqah berkata, melalui pertunjukan fesyen itu mereka juga dapat meraih pengalaman untuk menguruskan sesuatu program dengan jayanya.
“Kami bukan hanya menjadi pereka fesyen, malah bertanggungjawab di belakang tabir bagi memastikan pertunjukan ini berlangsung seperti yang dirancang. Kami dapat meraih banyak pengalaman dan belajar cara untuk menguruskan sesuatu program dari awal sehinggalah ia berakhir,” ujarnya.
Tambahnya, meskipun pertunjukan fesyen yang mereka anjurkan itu tidaklah sebesar mana, namun masing-masing dapat meraih pengalaman yang begitu berharga.
Ketika pertunjukan fesyen itu juga, mereka belajar bagaimana untuk menguruskan sesuatu situasi di luar jangka.
Misalnya, dalam keadaan bagaimana orang ramai yang hadir tetapi tidak dapat tempat duduk yang sepatutnya.
“Hal sebegini nampak kecil, tapi kami sebagai penganjur perlu bertindak dan menyelesaikannya dengan segera bagi memastikan perjalanan program tidak terganggu.
“Selain daripada itu, cabaran lain yang dihadapi adalah bagaimana untuk menguruskan pergerakan model secara keseluruhan, sama ada di atas pentas atau di belakang pentas juga penting dan kami belajar semuanya,” kata Nur Shafiqah.
Berkongsi mengenai pembelajaran fesyen di UniKL MIDI itu, Nur Shafiqah berkata, mereka turut ada didedahkan dengan budaya fesyen Itali.
“Biarpun tidaklah 100 peratus tetapi kami memang ada didedahkan dengan budaya Itali. Misalnya, dalam satu subjek pada semester 4, kami perlu menjadikan pereka fesyen Itali sebagai inspirasi.
“Kami juga belajar bahasa Itali,” katanya.
Dalam pada itu, pensyarah dan Koordinator Program Bahagian Fesyen UniKL, Hazizul Aziz menjelaskan, pertunjukan itu diadakan juga sempena pelancaran bidang fesyen yang baru ditawarkan di UniKL.
Menurutnya, pelajar-pelajar ambilan pertama di dalam bidang itu memperagakan hasil rekaan mereka pada pertunjukan tersebut.
“Kenapa kita panggil mereka untuk membuat pertunjukan fesyen ini kerana mereka masih baharu seperti ‘kanvas putih’.
“Oleh itu, kita memberi peluang kepada mereka untuk melihat idea-idea dan eksperimen yang mereka terjemahkan dalam busana yang akan diperagakan dalam pertunjukan ini,” katanya.
Mengulas tentang faktor UniKL mengambil inisiatif untuk mewujudkan kursus tersebut, Hazizul berkata, mereka melihat bahawa industri fesyen Malaysia semakin berkembang dan memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang bukan hanya kreatif, tetapi juga berkemahiran teknikal dan berorientasikan industri.
UniKL MIDI juga mahu melahirkan pereka-pereka fesyen popular dan hebat seperti yang dilahirkan Itali.
Menurutnya, kursus ini diwujudkan untuk mengisi keperluan tersebut, di samping menyokong pembangunan fesyen tempatan dan memperkasa usahawan muda dalam industri kreatif.
“Berbanding di tempat lain, kursus fesyen di UniKL bukan sekadar fokus pada rekaan pakaian, tapi menggabungkan teknologi, inovasi dan elemen keusahawanan.
“Ini menjadikan graduan kami bukan saja kreatif dari segi rekaan, tapi juga bersedia menjadi pereka fesyen yang berdikari dan mampu memulakan jenama sendiri,” jelasnya.
Tambahnya, mereka juga mendedahkan pelajar dengan penggunaan mesin industri, teknologi fabrik, dan pengurusan produksi, sekali gus menjadikan program ini sangat berbeza daripada kursus yang hanya tertumpu kepada rekaan semata-mata.














